Mitsubishi Outlander 2022 generasi baharu dilancarkan

oleh Mohamad Hanif|
Mitsubishi Outlander 2022, generasi baharu SUV terpenting dalam keluarga Mitsubishi itu akhirnya telah pun rasmi dilancarkan sebentar tadi menerusi siaran secara langsung di Amazon Live.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Seperti yang diketahui sebelum ini, Outlander baharu ini menggunakan platform daripada Nissan Rogue serta menggunakan konsep produk 'I-Fu-Do-Do' yang membawa maksud ketulenan dan kemegahan di dalam bahasa Jepun.

 


Dari segi dimensi, Outlander 2022 memiliki ukuran panjang 4,790 mm, lebar 1,862 mm dengan ketinggian 1,748 mm, manakala jarak antara roda pula telah dipanjangkan kepada 2,705 mm yang menyumbang kepada penambahan ruang kaki yang lebih luas.

Panjang ruang kargo juga turut bertambah kepada 2,040 mm berbanding 1,687 mm pada model terdahulu apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat.

Walaupun menggunakan platform yang dikongsi daripada rakan sepakatan, Mitsubishi Outlander menampilkan rekaan yang tersendiri, dan ia merupakan model pertama yang didatangkan dengan interpretasi baharu Dynamic Front Shield yang diinspirasikan daripada dua model Mitsubishi  yang terdahulu - Pajero dan Evolution X!

 


Susunan lampu hadapan terdiri daripada lampu nyalaan siang LED di bahagian atas, diikuti lampu suluhan rendah dan tinggi di bahagian tengah, dan lampu kabus di bahagian bawah.

Sementara bahagian sisi pula tidak dapat lari daripada membawakan persamaan dengan rekaan Rogue, manakala bahagian belakang pula menampilkan rekaan lampu yang lebih nipis dan kemas.

 


Mitsubishi Outlander masih lagi kenderaan di dalam segmennya yang menawarkan konfigurasi tiga baris tempat duduk sebagai standard, dengan penggunaan bahan yang lebih berkualiti tinggi dan kemasan yang lebih premium (kulit asli/suede/fabrik bergantung kepada varian).

Di bahagian papan pemuka terdapat dua skrin utama, iaitu skrin kluster instrumen bersaiz 12.3 inci dan skrin tengah bersaiz 9.0 inci yang turut menyokong sambungan kepada Apple CarPlay nirwayar dan Android Auto, serta gugusan butang kawalan untuk HVAC.

 


Secara standard, Outlander 2022 datang dengan ciri seperti 11 beg udara, slot pengecasan USB-A dan USB-C, serta penawaran ciri yang bergantung kepada varian seperti kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal laluan, sistem navigasi, ciri paparan Head-Up, dan sistem audio Bose dengan 10 pembesar suara.

Disebabkan Mitsubishi Outlander 2022 kini merupakan sebahagian daripada Nissan, aspek trenkuasa juga turut menggunakan khidmat daripada rakan sepakatannya.

 


Tiada lagi enjin 2.4 liter MIVEC, sebaliknya Mitsubishi Outlander menggunakan enjin 2.5 liter PR25DD yang menghasilkan 181 kuasa kuda dan 245 Nm dengan beberapa teknologi seperti VVT elektrik, dan teknologi Nissan iaitu lapisan 'mirror-bore' (masih ingat Nissan Almera?).

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi CVT lapan nisbah kelajuan.

 


Namun, kuasa tersebut disalurkan kepada roda menerusi sistem pacuan warisan WRC Mitsubishi yang tersendiri digelar sebagai Super All-Wheel Control 4WD System serta pemilihan mod pemanduan yang menawarkan enam tetapan iaitu Eco, Normal, Tarmac, Gravel, Snow, dan Mud.

Menurut Mitsubishi, pemilihan mod pemanduan ini boleh didapati pada kedua-dua versi 2WD dan 4WD.

Di pasaran Amerika Syarikat, Mitsubishi Outlander 2022 ditawarkan pada harga bermula dari $25,795 (RM104,276) bagi memberikan saingan kepada Nissan Rogue ($25,650), Toyota RAV4 ($26,150) dan Honda CR-V ($25,350).

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
SUV Outlander 2022 itu bakal menampilkan liveri khas yang menyambut ulang tahun yang ke-20 kejayaan…