Mitsubishi Outlander PHEV 2025 untuk Eropah, mod elektrik sehingga 86 km

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mitsubishi Outlander PHEV 2025
Mitsubishi Outlander PHEV 2025
Mitsubishi Outlander yang pernah dijual di pasaran kini berada di dalam generasi keempat selepas dilancarkan pada 2021.

Kepada yang bertanya, bukan sahaja pasaran tempatan, Outlander belum juga memasuki negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Outlander ditawarkan dalam beberapa jenis enjin mengikut pasaran sebagai contoh 1.5 liter turbo, 2.5 liter biasa dan 2.4 liter hibrid plug-in (PHEV).

Rangkaian kuasa PHEV boleh dikatakan bintang buat Outlander pada generasi ketiga lagi.
MINI MREC Banner Campaign February 2025 - Week 2
Mitsubishi Outlander PHEV 2025

 

Walaupun sudah berada di Jepun dan Amerika Syarikat, Outlander PHEV baharu masih belum dipasarkan di Eropah sehingga diperkenal pada 1 Oktober.

Outlander PHEV mempunyai rekod baik sebelum ini dengan jualan sebanyak 200,000 buah di Eropah sejak diperkenalkan pada 2013.

Dari segi rekaan, Outlander boleh dikatakan membawa aura dan pengaruh Pajero lama. Pajero baharu bukan tidak wujud tetapi tidak dipasarkan di Eropah (Pajero Sport).

Diletakkan bersebelahan, model 2025 nampak sama seperti sebelum ini kecuali corak panel jeriji atas yang rata, pendakap bawah bampar dan rim baharu dalam saiz 18 atau 20 inci.

 

Mitsubishi Outlander PHEV 2025

 

Bahagian belakang pula diubah dengan lensa lampu jernih dan gelap berbanding sebelum ini dan bahagian bawah bampar baharu.

Bahagian dalam Outlander memang sudah sedia mewah dan model 2025 nampak berbeza pada skrin tengah 12.3 inci dengan satu tombol fizikal berbanding dua pada model Jepun.

Yamaha berada di dalam kereta Mitsubishi. Lebih tepat lagi, Outlander menggunakan sistem audio Yamaha untuk bunyian yang bermutu.

Kerusi belakang boleh dipisahkan dengan nisbah 40:20:40 dan ruang kargo mempunyai saiz muatan 495 liter atau 1,422 liter jika kerusi dibaringkan.

 

Mitsubishi Outlander PHEV 2025

 

Sistem PHEV Outlander merangkumi enjin 2.4 liter, dua motor kuasa tinggi dan bateri litium-ion 22.7 kilowatt-jam (kWj) sejukan cecair untuk pengurusan haba lebih baik.

Bateri dengan kapasiti lebih besar berbanding sebelum ini membantu Outlander dipandu dalam mod elektrik (EV) sehingga 86 kilometer (km).

Motor elektrik depan menghasilkan 85kW (116 ps) dan 255Nm manakala unit belakang memiliki 100 kW (136 ps) dan 195Nm.

Perkakasan tersebut lebih kecil hasil unit kawalan motor bersepadu dan meringkaskan 'packaging' rangkaian kuasa. 

 

Mitsubishi Outlander PHEV 2025

 

Turut dilengkapi sistem pam haba yang mengurangkan penggunaan tenaga walaupun penyaman udara dihidupkan dan jarak EV lebih jauh meskipun dalam cuaca sejuk.

Enjin 2.4 liter diambil dari model lama dan menjalani beberapa penambahbaikan.

Di antaranya penggunaan sistem edaran semula gas ekzos (EGR), saluran penyejukan baharu dan pancarongga ekzos bersepadu yang meningkatkan kecekapan bahan api dan prestasi.

Enjin menghasilkan 136 ps dan 203Nm dan keseluruhan sistem mempunyai 302 kuasa kuda (hp). Pecutan 0 sehingga 100 km/j memerlukan 7.9 saat.

 

Mitsubishi Outlander PHEV 2025

 

Tangki 53 liter turut membantu untuk pemanduan lebih jauh. Berdasarkan penggunaan petrol 0.8 liter per 100 km, jarak pemanduan Outlander PHEV boleh mencecah 844 km.

Ada tiga mod pemanduan iaitu EV, Series Hybrid (enjin bekalkan kuasa bila perlu) dan Parallel Hybrid (motor dan enjin berfungsi secara bergandingan).

Pemandu juga boleh memilih mod sendiri seperti Normal (EV/hibrid), EV (apabila tenaga bateri mencukupi), Save (keutamaan pengekalan tenaga bateri) dan Charge (pengecasan semula).

Pemanduan elektrik boleh dinikmati sehingga kelajuan 135 km/j. Port pengecasan pula ada dua jenis iaitu Type 2 dan CHAdeMO.

 

Mitsubishi Outlander PHEV 2025

 

Sebagai jentera Mitsubishi, Outlander dilengkapi sistem All Wheel Control (S-AWC) untuk memastikan cengkaman dimaksimumkan dalam pelbagai keadaan.

Dari aci penggerak pada Pajero lama kepada motor elektrik pada setiap gandar untuk pembahagian daya kilas optimum dan menurut Mitsubishi tidak boleh dicapai dengan sistem 4WD biasa.

Outlander PHEV meriah dengan pelbagai mod dan ada tujuh lagi iaitu Normal, Eco, Power, Tarmac, Gravel, Snow dan Mud yang boleh dipilih melalui tombol pada konsol tengah.

Turut dilengkapi sistem Bantuan Penstabilan Treler untuk meningkatkan kestabilan semasa menunda beban atau treler di belakang.

 

Mitsubishi Outlander PHEV 2025

 

Dari segi bantuan pemanduan, Outlander dilengkapi sistem Pengelakan Pelanggaran Depan, Amaran Titik Buta dengan Bantuan Penukaran Lorong dan Pengecaman Isyarat Jalan Raya.

Turut dilengkapi Kawalan Suai Pandu, Amaran Penukaran Lorong dan Bantuan Pengekalan Lorong.

Lagi teknologi seperti Pembrekan Kecemasan Belakang Automatik, Sistem Pemantauan Pemandu dan Pemantau Perhatian Pemandu.

Fungsi eCall pula membolehkan panggilan telefon dibuat melalui satu butang sahaja sekiranya berlaku kecemasan.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Mitsubishi Outlander PHEV 2025

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Outlander PHEV generasi terdahulu dan model baharu yang dilancarkan pada Disember 2021 terjual…
Berita Global
  Model pengganti Outlander (generasi keempat) diperkenal pada Februari 2021 dan versi hibrid…
Model Terbaharu
Outlander PHEV 2022 kini menampilkan pek bateri 20 kWh yang lebih besar kapasitinya (13.8 kWh pada…