Evolusi dan Prestasi Produk
Outlander PHEV direka sebagai model flagship yang berfungsi untuk kegunaan kenderaan elektrifikasi harian dan hibrid bagi perjalanan jarak jauh.
Model generasi kedua dilancarkan pada 2021 dan dibangunkan di bawah konsep produk I-Fu-Do-Do yang membawa maksud tulen dan agung.
Pada Oktober 2024, Mitsubishi memperkenalkan model kemas kini yang dilengkapi dengan bateri pemacu baharu bagi memanjangkan jarak gerak EV serta meningkatkan prestasi pecutan.
Selain penambahbaikan pada kualiti reka bentuk dalaman dan luaran, model ini juga kini dilengkapi sistem audio hasil kerjasama dengan Yamaha Corporation sebagai ciri standard untuk semua varian.
Rangkaian Kuasa 2.4L MIVEC dan 2 Motor Elektrik
Outlander PHEV digerakkan enjin petrol 4B12 2.4 liter MIVEC yang menghasilkan kuasa 133 ps (98 kW) pada 5,000 rpm dan tork maksimum 195 Nm pada 4,300 rpm.
Kuasa elektrik dibekalkan dua motor elektrik di mana motor depan menghasilkan 85 kW (115 ps) dengan tork 255 Nm, manakala motor belakang menjana 100 kW (136 ps) dengan tork 195 Nm.
Sistem ini menggunakan bateri pemacu litium-ion dengan jumlah voltan 355 V dan kapasiti tenaga 22.7 kWj.
Pakej ini membolehkan jarak gerak EV serta jarak pemanduan menggunakan kuasa elektrik mencecah antara 102 km hingga 106 km mengikut kitaran WLTC.
Dengan sokongan tangki bahan api berkapasiti 53 liter, Outlander PHEV mencatatkan penggunaan bahan api hibrid antara 17.2 km/L hingga 17.6 km/L dalam mod WLTC.
Harga Outlander PHEV
Mitsubishi Outlander PHEV ditawarkan bermula daripada harga 5,294,300 yen (RM 131,616) untuk varian M dengan lima tempat duduk sehingga 6,826,600 yen (RM169,709) bagi varian BLACK Edition tujuh tempat duduk.
Penulis: Muhammad Md Tajudin