
Xforce turut dibawa ke Amerika Latin, Afrika dan Timur Tengah pada 2024. Thailand pula terus menerimanya dalam versi hibrid elektrik (HEV).
Pelanggan di Thailand sebelum ini sudah menikmati teknologi HEV Mitsubishi melalui Xpander dan Xpander Cross HEV yang dilancarkan pada Februari 2024.
Xforce HEV menggunakan sistem hibrid elektrik yang berasal daripada teknologi hibrid plug-in EV (PHEV) Mitsubishi.
Sebagai jentera Mitsubishi juga bermakna Xforce HEV dilengkapi sistem Active Yaw Control (AYC) dan teknologi kawalan pacuan empat roda.

Xforce HEV direka mengikut konsep reka bentuk Silky & Solid yang menggabungkan keanggunan dan ketahanan.
Reka bentuk Xforce yang menonjol tidak boleh disangkal dan ibarat kereta konsep disalin kepada kereta jalanan.
Rupa depan Dynamic Shield dikembangkan dan turut menarik perhatian lampu siang LED berbentuk T dan diulang pada lampu belakang.
Permukaan badan Xforce sibuk dengan garisan dan lekukan yang menunjukkan evolusi rekaan Mitsubishi.

Selain itu, Xforce HEV lebih rendah dengan jarak kelegaan bumi 183 milimeter (mm) berbanding 222 mm pada Xforce petrol.
Rekaan rim 18 inci nampak menonjol dan identiti HEV dibezakan pada tulisan Xforce pada bucu tukup, lampu belakang jernih dan logo hibrid pada beberapa lokasi.
Mitsubishi menawarkan lapan warna termasuk dua tona iaitu White Diamond, Energetic Yellow, Red, atau Graphite Gray Metallic dengan bumbung hitam.
Pilihan warna seragam pula terdiri daripada White Diamond, Graphite Gray Metallic, Blade Silver Metallic dan Jet Black Mica.

Dalaman Xforce HEV menampilkan papan pemuka Horizontal Axis.
Rekaan ini meningkatkan penglihatan ke hadapan dan memudahkan pengesanan perubahan kedudukan kenderaan semasa memandu di jalan yang tidak rata.
Fabrik mélange digunakan untuk lapik papan pemuka dan panel gear dan suis kuasa menggunakan warna Piano Black yang tahan calar.
Skrin yang mendominasi berukuran 12.3 inci dan tidak hanya menayangkan maklumat biasa.
Pemandu disediakan maklumat seperti ketinggian, sudut kecondongan dan arah dan dibuat sebagai penghormatan kepada Pajero.

Dari segi praktikaliti, ruang penyimpanan yang luas dan praktikal disediakan di pelbagai tempat selain port USB Type-A dan Type-C untuk barisan hadapan dan belakang.
Pemegang cawan boleh memuatkan sehingga 21 botol plastik 600 mililiter pada bahagian pintu, konsol lantai dan tempat lain
Menariknya, konsol tengah mempunyai peti sejuk minuman yang menggunakan udara sejuk dari penyaman udara untuk penyejukan
Tempat duduk belakang boleh dilipat dalam konfigurasi 40:20:40.

Sistem HEV Xforce HEV dikembangkan daripada Xpander HEV.
Xforce menggunakan transgandar baharu yang meningkatkan kecekapan transmisi dan fungsi pemutus yang memutuskan sambungan motor daripada aci pacuan pada kelajuan tinggi.
Ciri-ciri ini mengurangkan kehilangan tenaga dengan ketara dan memberikan penggunaan bahan api kira-kira 24.4 kilometer per liter.
Untuk pemanduan hibrid, sistem transgandar dua kelajuan digunakan untuk memastikan kesenyapan pada kelajuan tinggi dan pecutan yang kuat semasa menaiki bukit.

Selain itu, motor, penjana dan transmisi disatukan yang mengurangkan bunyi frekuensi tinggi dengan ketara dan memberikan pengalaman pemanduan seperti EV yang lancar.
Teknologi HEV juga bermakna Xforce boleh dipandu dalam mod elektrik (EV).
Sistem ini juga beroperasi secara automatik dengan memilih mod pemanduan yang optimum berdasarkan keadaan pemanduan dan baki bateri.
Sistem HEV Xforce:
1. EV Driving (Pemanduan Elektrik)
- Kenderaan digerakkan sepenuhnya oleh motor menggunakan tenaga daripada bateri pacuan.
- Digunakan apabila bermula atau memandu pada kelajuan rendah.
- Menyediakan pemanduan yang senyap dan bersih.
3. Regenerative Braking (Brek Regeneratif)
- Tenaga kinetik dipulihkan semasa nyah pecutan.
- Tenaga ini ditukar menjadi tenaga elektrik dan disimpan dalam bateri pacuan.
- Meningkatkan kecekapan tenaga dan memastikan bateri sentiasa dicas semula.
2. Hybrid Driving (Pemanduan Hibrid)
- Sistem bertukar kepada mod hibrid apabila menaiki bukit atau memecut.
- Motor digerakkan oleh tenaga yang dijana oleh enjin serta tenaga daripada bateri pacuan.
- Mod hibrid juga diaktifkan pada kelajuan tinggi, di mana enjin digunakan dengan bantuan motor untuk prestasi yang lancar.
Fungsi Pemutus Motor Baharu
- Memutuskan sambungan antara motor dan aci pacuan pada kelajuan tinggi dengan sedikit operasi pedal pemecut.
- Mengurangkan rintangan pacuan dan meningkatkan ekonomi bahan api.
Rangkaian Kuasa Xforce HEV:
- Motor berkuasa tinggi dan bateri pacuan berprestasi tinggi yang direka khusus untuk model HEV.
- Enjin 1.6-liter DOHC 16-valve MIVEC, yang pertama kali digunakan pada Xpander HEV menawarkan kecekapan terma terbaik dalam kelasnya.
- Dilengkapi pam air elektrik yang mengurangkan kehilangan tenaga tambahan, meningkatkan kecekapan terma kepada lebih 40 peratus.
- Meningkatkan kecekapan bahan api enjin dan menyumbang kepada ekonomi bahan api keseluruhan kenderaan.
- Enjin petrol, penjana dan motor menghasilkan output maksimum 116 ps.

7 Mod Pemanduan
- EV Priority: Pemanduan menggunakan motor sahaja tanpa mengaktifkan enjin, sesuai untuk persekitaran yang memerlukan kesenyapan.
- Charge Mode: Membolehkan pengecasan bateri semasa pemanduan jika baki bateri rendah.
- Normal: Sesuai untuk pemanduan harian dengan keseimbangan yang baik.
- Tarmac: Menawarkan pemanduan yang lincah dan kawalan yang tepat di jalan berliku.
- Gravel: Mengurangkan gelinciran dan memberikan kawalan yang selamat di jalan tidak berturap.
- Mud: Menawarkan kawalan yang kuat di jalan berlumpur dan kasar.
- Wet: Mengurangkan gelinciran tayar dan memberikan kestabilan tinggi dalam hujan lebat.
Mod pemanduan boleh ditukar secara menggunakan suis di konsol tengah.
Skrin pemandu digital saiz lapan inci memberikan maklumat khusus HEV seperti meter kuasa, aliran tenaga, nisbah pemanduan EV dan baki bateri.
Sistem Bunyi Yamaha
Xforce HEV dilengkapi sistem bunyi Dynamic Sound Yamaha Premium yang dibangunkan bersama Yamaha Corporation.
Sistem ini mempunyai lapan pembesar suara, twiter pada tiang A dan wufer pada pintu depan.
Bunyi disesuaikan mengikut kelajuan kenderaan untuk mutu audio yang jelas walaupun di jalan kasar.

Sistem Keselamatan ADAS
Xforce HEV dilengkapi Mitsubishi Motors Safety Sensing.
Sistem ini merangkumi Kawalan Suai Pandu (ACC), Pembrekan Kecemasan Autonomi, Amaran Titik Buta dengan Bantuan Penukaran Lorong) dan beberapa lagi.
Bagaimana pula dengan beg udara? Ada enam semuanya.
Varian dan Harga
Pelanggan di Thailand ditawarkan tiga varian Xforce HEV.
Ignite berharga 899,000 baht (RM117,571), Ultimate 1.039 juta baht (RM135,880) dan 1.089 juta baht (RM142,419) untuk varian paling premium Ultimate X.
Penulis: Muhammad Md Tajudin