Model one-off Boat Tail itu telah pun membuat kemunculan rasmi di peringkat global pada pertengahan tahun yang lalu, namun ia diperlihatkan buat kali pertama di khalayak umum selama dua hari sebelum ia 'disembunyikan' dan disimpan kembali.

Menurut Torsten Müller-Ötvös, CEO Rolls-Royce menjelaskan acara Concorso d’Eleganza Villa d’Este merupakan platform terbaik untuk membawakan hasil kerja terbaharu pengeluar itu kepada media antarabangsa, pakar permotoran serta para pencinta kemewahan.
"Ia juga satu momen yang bersejarah buat jenama Rolls-Royce, di mana kami merupakan peneraju binaan khusus moden yang membawakan industri mewah ke satu penanda aras baharu di mana hiperpersonalisasi dan sokongan kontemporari memberikan kemungkinan yang tidak terbatas.

Rolls-Royce Boat Tail ini menggunakan platform spaceframe aluminium Architecture of Luxury daripada model limosin Phantom dengan dimensi berukuran 5,800 mm.
Apa yang menarik perhatian adalah rekaan di bahagian 'ekor' yang menampilkan decklid bukaan tengah seakan kepak rama-rama dan menempatkan dua unit peti sejuk serta set peralatan dan pinggan mangkuk jenama Christofle.

Melengkapkan lagi set piknik tersebut adalah sepasang kerusi kecil diperbuat daripada gentian karbon, dan payung kecil yang boleh dibuka dan disimpan daripada bahagian belakang itu tadi.
Rolls-Royce Boat Tail dikuasakan oleh enjin 6.75 liter bentangan V12 turbo berkembar yang berupaya menjana 563 kuasa kuda, namun tiada sebarang perincian prestasi pecutan dibekalkan.