Para peminat MODENAS Ninja 250 ABS kini boleh mendapatkan sportsbike tersebut dengan penawaran warna dan grafik baharu Lime Green/Ebony untuk model tahun 2023.
Dua warna lagi yang tersedia ialah Metallic Matte Graphite Gray dan Metallic Carbon Gray.
Ia boleh didapati di semua pengedar sah MODENAS bermula Ogos 2023, dengan harga jualan bermula dari RM21,800.
Spesifikasi Ninja 250 ABS versi pemasangan tempatan ini masih lagi dikekalkan, dengan enjin dua silinder parallel-twin 249 cc (spesifikasi Euro 4) dengan kuasa 36.9 hp @ 12,500 rpm, dan daya kilas 23.0 Nm @ 10,000 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi manual enam kelajuan serta bantuan klac assist/slipper.
Ciri lain termasuklah fork teleskopik depan, penyerap hentak tunggal di belakang, sistem brek cakera bersaiz 286 mm depan dan 193 mm belakang, sistem ABS dua saluran, kapasiti tangki bahan api sebesar 14 liter dan ketinggian pelana 795 mm.
Selain daripada pengenalan warna baharu untuk Ninja 250 ABS, EMOS juga turut mengumumkan pelancaran minyak pelincir empat lejang Kawasaki Genuine Oil (KGO) kelikatan 10W-50.
Minyak pelincir sintetik 100 peratus tersebut diadun khas untuk menawarkan perlindungan kepada komponen enjin ketika suhu dan revolusi tinggi, dan dalam masa yang sama meningkatkan lagi prestasi enjin terutama sewaktu permulaan, pecutan dan kelajuan malar.