Jika anda sendiri terlibat atau mengikuti suasana dunia modifikasi, sudah tentu anda pernah melihat pelbagai jenis ubah suai yang menarik dan juga pelik.

Seperti modifikasi badan yang telah dihasilkan pada sebuah Civic EG hatchback milik lelaki dari Thailand ini, sememangnya dapat menarik tumpuan dan menimbulkan persoalan.
Apabila dilihat dari bahagian tepi, anda sememangnya akan nampak rupa asal sebuah Civic EG hatchback yang menjadi kegilaan jejaka seluruh dunia, namun bahagian depan dan belakangnya telah diubah sepenuhnya dengan modifikasi yang sukar diterima akal.

Bahagian depan Civic tersebut telah ditukar menggunakan komponen seperti fender, bonet, bumper dan lampu yang memberikannya rupa seakan Porsche 993.
Pada bahagian belakang pula, ianya turut menggunakan lampu berbentuk bulat dengan bahagian nombor plat ditutup, menghilangkan rupa asal EG hatchback yang 'seksi'.

Bahagian sisi turut ditambah dengan fender lebih lebar, memberikannya rupa yang lebih kembang. Menurut satu hantaran di Instagram, kereta dengan modifikasi yang diberi nama 'Civiche 911' itu tersedia untuk dijual.
Pada penulis, tidak semua modifikasi atau ubah suai itu wajar dilakukan walaupun anda memiliki duitnya, seperti Civic EG Hatchback ini, rupa asalnya sudah mencukupi bagi jejaka bujang dan tidak bujang untuk memikat hati wanita di luar sana.