Salah satu contoh yang ditunjukkan adalah seperti yang kami paparkan dalam artikel kali ini, di mana unit berwarna ungu ini merupakan projek yang dikomisyenkan oleh pelanggan dari Chile.
Kereta asal yang keluar beberapa puluh tahun yang lalu itu telah dileraikan sebelum dibaik pulih sepenuhnya.
Mungkin dari mata kasar, tiada apa yang beza, namun Theon Design sebenarnya membawakan penggunaan bahan ringan gentian karbon pada panel badan termasuklah bumbung, pelindung enjin, spoiler, bampar dan bermacam-macam lagi.
Hanya beberapa komponen sahaja tidak didatangkan dengan bahan serupa, seperti pintu keluli dan pelapik arka roda yang diperbuat daripada bahan kevlar hitam ringan.
Theon Design turut melayangkan warna Viola Metallic, di mana warna ini sebenarnya pertama kali digunakan bersempena pelancaran Porche 911 edisi ulang tahun ke-30 pada tahun 1993.
Rupa paras Porsche 911 itu dikemaskan dengan rim Fuchs bersaiz 17 inci.
Sistem gantungan kereta sports ini menampilkan suspensi kawalan elektronik aktif TracTive dengan unit peredam bebas sepenuhnya, serta injap pelarasan peredam dinamik yang dikawal oleh penderia G berbilang paksi dengan lima tetapan berbeza bertujuan untuk meningkatkan tahap kualiti pemanduan, menambah kestabilan sewaktu kereta dihentikan, dan menambah daya cengkaman yang diperlukan.
Aspek pengurangan berat badan disumbangkan lagi dengan penggunaan rotor brek karbon, sistem pendawaian kustom bertaraf aviasi yang ringan, serta sistem pendingin hawa serba ringan, menjadikan berat keseluruhan kereta ini sekitar 1,164 kg sahaja.
Theon Design mendatangkan enjin enam silinder aspirasi natural 4.0 liter untuk dimuatkan pada Porsche 911 ini, dengan kuasa setinggi 400 hp dan 474 Nm, menampilkan badan pendikit bebas, sistem kemasukan gentian karbon, padanan transmisi manual enam kelajuan dan LSD Wavetrac.
Ruang kabin Porsche CHI001 (kod nama yang digunakan) menampilkan tempat duduk Recaro Club Sport, aksen gentian karbon, slot pengecasan peranti pintar nirwayar, sistem infotainmen Bluetooth, pembesar suara dan amplifier Focal, serta kemasan Porsche Royal Purple.
Tiada sebarang tanda harga diumumkan, yang pasti kos untuk membaik pulih sebuah Porsche 911 dengan penggunaan bahan gentian karbon bukanlah semurah anda membeli-belah barangan Bezza di Shopee.