Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fok dalam satu kenyataan telah mengarahkan semua agensi termasuk pengendali pengangkutan awam di bawah kementerian berkenaan untuk melaksanakan sistem pembayaran baharu dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Cuma perlu masa untuk selaraskan sistem pembayaran. Umpamanya kalau guna Operasi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), sekarang ini hanya dua pilihan iaitu pergi ke mesin layan diri dan beli token atau guna Touch n Go (TnG).
“Jadi kita nak aplikasikan satu sistem pembayaran terbuka yang mana selain TnG, apa juga jenis kad, sama ada kad kredit atau debit, boleh sentuh dan masuk.

“Sistem ini akan kita mulakan tidak lama lagi untuk pengangkutan awam khususnya di bawah Prasarana untuk bas, LRT, Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT)… begitu juga Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang sudah diarahkan untuk buat sistem sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Plaza Premium Lounge di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mempertimbangkan monopoli Touch ‘n Go di di dalam sistem kutipan tol lebuh raya.
Jelasnya, Touch ‘n Go telah beroperasi sejak lebih dua dekad dan sepanjang tempoh itu tiada perkembangan yang meyakinkan di dalam sistemnya.

Berkenaan monopoli TnG di dalam sistem kutipan tol lebuh raya, Anthony menambah, “itu terpulang kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), saya tidak boleh jawab bagi pihak mereka.”
Sumber: MalaysiaGazette