Ini merupakan kali pertama PETRONAS menjadi penaja utama penganjuran GP Malaysia selepas mencapai persetujuan dengan pemegang hak MotoGP, Dorna Sports awal tahun ini.
Dalam pelancaran yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Seri Ahmad Faizal bin Dato' Azumu siang tadi, pihak Sepang International Circuit (SIC) turut mengumumkan kemunculan pelumba negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok menggunakan kemasukan 'wildcard' di dalam kategori Moto3.
Pelumba berusia 21 tahun itu kini berada di tangga kedua dalam kedudukan FIM JuniorGP™.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, "tahun ini menandakan tahun pertama PETRONAS sebagai penaja utama GP Malaysia.
"SIC (menggunakan tanda pagar #WelcomeHome) mengalu-alukan kehadiran peminat sukan permotoran tempatan dan antarabangsa ke Sepang setelah dua tahun menyepi akibat pandemik COVID-19, dan kami akan memastikan kualiti GP Malaysia berada di aras tertinggi.
Beliau menambah, "saya percaya kemunculan Damok menggunakan kemasukan 'wildcard' akan menjadi faktor utama kehadiran rakyat Malaysia untuk menyokong pelumba Malaysia di atas grid.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata, "sebagai penaja utama Grand Prix, ia memberikan satu peluang kepada jenama PETRONAS untuk berkembang dan membantu menjana semula pelancongan sukan permotoran di Malaysia, serta memberikan platform unik kepada kami untuk menunjukkan kehebatan PETRONAS Primax - Bahan Api Rasmi untuk Kejuaraan Moto2 dan Moto3 - kepada dunia.
Pelbagai aktiviti menarik di luar litar telah disusun untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia, seperti contoh pertandingan memasak oleh pelumba MotoGP di Pavilion Kuala Lumpur, Public Pit Lane Walk, sesi tandatangan bersama para pelumba, serta tidak ketinggalan sesi Night Track Tour pada 21 hingga 22 Oktober ini.
Lebih menarik, pihak SIC turut menyediakan hadiah cabutan bertuah berupa sebuah Yamaha NVX dan Yamaha Y15ZR yang dilayangkan dengan liveri SIC bernilai RM22,000 kepada dua orang pemenang bertuah.

Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan, SIC akan menyediakan promosi khas sehingga 31 Ogos ini, di mana tiket boleh dibeli di laman web www.sepangcircuit.com.