Menurut rakan mereka, Muhammad Arashid Ramli, 39, berkata, dia menerima khabar duka itu daripada seorang rakan yang turut sama mengikuti konvoi ke Thailand, pada jam 10.30 pagi.
"Berdasarkan maklumat, pasangan itu bersama empat lagi rakan dalam perjalanan pulang dari Thailand ke Pulau Pinang. Mereka sudah hampir dua minggu berkonvoi di negara berkenaan.
"Semasa kejadian hujan dan keadaan jalan licin menyebabkan motosikal ditunggang arwah bersama isteri terbabas sendiri. Mereka disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayat dibawa ke Hospital Chumphon," katanya ketika dihubungi.
Muhammad Arashid berkata, dia masih terkejut dengan berita kematian rakan baiknya yang dikenali sejak lebih 10 tahun lalu ketika menyertai kumpulan motosikal berkuasa tinggi.
Katanya, empat rakannya yang berada di Thailand ketika ini membantu menguruskan jenazah untuk dibawa pulang ke tanah air.
Menurut Arashid, proses tuntutan akan mengambil masa dan jenazah dijangka tiba di sempadan Malaysia-Thailand pagi Selasa.
Dia berkata, jenazah akan dibawa ke kampung halaman keluarga Zaimima di Merbau Pulas, Kedah, untuk urusan pengebumian.