Motosikal: Unit terpakai Jepun/Eropah jauh lebih berbaloi dari unit baharu Made In China

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sekarang ini pasaran motosikal besar dalam negara semakin aktif dengan model-model dan jenama-jenama baharu.

Seperti biasa, ramai "rider" baharu yang terus mahu melompat ke atas - sekurang-kurangnya dari segi rekabentuk motosikal baharu mereka.

Yang mampu akan terus membeli motosikal baharu dari Jepun atau Eropah. Belum biasa "ride", sudah terus pandang lekeh jentera 250 cc walhal skil main klac pun belum tentu dapat bawa RX-King dengan lancar.

Yang kurang tebal di poket akan mencari motosikal paling besar dan paling cantik termampu oleh duit muka mereka, dan saya boleh jamin, mereka akan terpukau dengan iklan-iklan motosikal jenama China.

Tidak ada salahnya cuma pada pendapat saya, jangan terlalu memandang rendah motosikal terpakai, terutama dari jenama Jepun.

Harga terpakai motosikal memang merudum teruk, lebih teruk dari kereta. 

Motosikal yang dibeli dengan harga RM100,000 hari ini akan hanya boleh dijual separuh dari harganya selepas dua ke tiga tahun. 

Itulah lumrah motosikal - dan lambat laun kereta pun akan mengalami nasib yang sama.

Jenama-jenama motosikal dari Jepun dan Eropah ini ialah dari jenama yang sudah lama berada di dalam industri dua roda ini. Ia dibuat oleh mereka yang memang sendiri sudah menunggang motosikal sekian lama. 

Jenama motosikal yang matang juga sudah lama bertapak di kebanyakan pasaran, memudahkan pencarian alatganti dan juga perkembangan tenknologi.

Tengok sahaja risalah-risalah atau laman web motosikal dari Jepun dan Eropah - sarat dengan cerita berkaitan teknologi-teknologi berkaitan enjin dan sistem keselamatan mereka.

Ini sangat bercanggah dengan risalah dan laman web motosikal China. Mereka menggunakan banyak perkataan yang umum atau "generic".

Contohnya, enjin yang modern, enjin berteknologi tinggi, enjin yang berprestasi tinggi. Tidak ada satu pun teknologi yang dimiliki oleh mereka sendiri. 

 

 

Jika kita kaji balik, sejak bila China menjadi pakar dalam membina motosikal?

Produk dua roda dari jenama China sebenarnya sangat primitif dan asas. Tidak ada apa yang terkini dan canggih. Tidak ada teknologi enjin, sistem gantungan atau sistem brek yang modern.

Yang ada cuma gambar-gambar cantik. 

Syarikat-syarikat dari China ini juga bijak dan kerana mereka dibantu oleh pemegang saham yang sangat kaya, mereka mampu "membeli" sejarah.

Negara itu memang tidak ada sejarah berkaitan motosikal. Malah, motosikal besar diharamkan di sana. Mereka hidup menggunakan motosikal Jepun dengan teknologi 1970-an.

Oleh kerana mereka tahu mereka tidak ada latar belakang dengan sejarah yang menarik, mereka membeli jenama-jenama luar yang sudah hampir muflis dengan harga yang murah.

Kemudiannya, mereka hasilkan motosikal dengan bentuk baharu yang mirip motosikal jenama Eropah atau Jepun, tetapi dijual dengan harga yang sangat mampu milik dan paling penting, menggunakan jenama Eropah yang tinggi dengan nilai sejarah dengan harapan yang pembeli kurang pandai itu tidak akan tahu.

Realitinya, di sebalik fairing mereka itu, Yamaha Y-Suku mempunyai teknologi yang jauh lebih ke hadapan. 

Malah kapchai Yamaha itu terasa seperti sebuah jet pejuang bila dibandingkan dengan sebuah motosikal China 250 cc yang saya tunggang beberapa kali.

Saya juga mencuba sebuah motosikal jenama India dengan 400cc yang disadur dengan jenama tempatan (sayang, masih kuat bau karinya).

Motosikal India itu juga jauh lebih baik dari sebuah lagi motosikal 500 cc dari China berjenama Eropah yang saya cuba. Teknologi Eropah pada motosikal India itu nyata terasa cuma rekabentuknya itu masih ada ciri-ciri mesin bajak - terlalu ringkas.

Motosikal China pula nampak cantik dan seksi tetapi itulah masalahnya. Motosikal tidak boleh dibeli dari sekadar nampak cantik sahaja. Ia adalah sebuah jentera yang perlu sebati dengan jiwa kita.

Saya faham bahawa motosikal terpakai penuh dengan risiko dan kadang-kadang bayaran pendahuluannya juga tinggi. 

Saya sendiri memiliki motosikal-motosikal terpakai. Yang penting, kita perlu mencari mekanik yang dipercayai dan membaiki mana yang patut kerana keseronakan menunggangnya masih jauh lebih sedap dari motosikal-motosikal baharu dari China.

 

 

Duit? 

Memang hobi motosikal memerlukan duit. Tayar, bateri, insuran dan kos servis motosikal memang melebihi dari kereta biasa. 

Motosikal juga tidak akan kekal baharu dan kerana itu anda perlu memastikan ada sumber alatganti. 

Saya masih boleh mencari alatganti untuk motosikal Eropah yang berusia 20 tahun. Malah aksesori untuk model itu masih lagi dijual.

Untuk motosikal China, alatganti perlu diambil dari sumber pengedar sahaja. Aksesori juga sukar dicari dan motosikal tanpa aksesori ialah umpama wanita tanpa sebarang perhiasan - "it does not exist".

Saya tidak melarang anda hendak membeli. Belilah, duit anda, tetapi jika ada masalah, jangan mengadu dan menuduh ia salah semua orang lain.  

Dan sebelum membeli, fikir balik tentang apa saya katakan tentang motosikal terpakai. 

Ada berlambak unit-unit terpakai dengan perbatuan yang rendah di dalam pasaran, dan harganya juga sangat menarik. 

Alatganti masih mudah dan murah, dan aksesori pun senang untuk dicari. Motosikal Jepun dan Eropah juga mempunyai kadar keselamatan yang tinggi. 

Cukup-cukuplah membeli kerana nampak cantik. Rakan dari negara-negara jiran pun gelak dengan kerakusan kita hendak bergaya dengan jenama entah apa-apa. 

Wallauhuallam.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Segmen tradisional atau lebih tepat lagi motosikal berenjin pembakaran dalaman di Vietnam kini…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, seorang suspek…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Azman Mat Kamis, berkata siasatan awal mendapati ketika…