MRT Corp laksanakan Pemeriksaan Awam 3 bulan mulai 24 Februari untuk lanjutan jajaran LRT Laluan Mutiara

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) akan melaksanakan sesi Pemeriksaan Awam untuk mendapatkan maklum balas terhadap Pindaan Skim Kereta Api bagi Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang Laluan Mutiara yang menghubungkan bahagian pulau dengan Seberang Perai.

MRT Corp dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata Pemeriksaan Awam selama tiga bulan dari 24 Februari hingga 24 Mei depan itu akan memberi peluang untuk orang awam meneliti dan memberi maklum balas terhadap lanjutan jajaran, lokasi stesen serta butiran projek yang berkaitan.

"Pindaan Skim Kereta Api itu merangkumi beberapa penambahbaikan terhadap skop projek, terutama lanjutan jajaran rel merentasi laut yang menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar Seberang Perai.

"Jajaran rentas laut kira-kira enam kilometer (km) itu akan menghubungkan KOMTAR dan Penang Sentral, dengan anggaran masa perjalanan sekitar lapan minit," katanya.

Menurut MRT Corp, Penang Sentral akan dibangunkan sebagai stesen utama di Seberang Perai serta hab pengangkutan multimodal yang mengintegrasikan perkhidmatan feri, rel KTMB dan bas sedia ada.

"Skim dipinda itu turut memperuntukkan kira-kira 1,000 petak parkir tambahan di Penang Sentral.

"Menerusi hab ini, penumpang akan menikmati kesalinghubungan terus ke destinasi utama seperti KOMTAR, Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang," katanya.

Susulan penstrukturan semula pembangunan Penang South Reclamation (PSR) daripada tiga pulau kepada satu pulau, skim yang dipinda itu turut membabitkan penyelarasan semula terhadap jajaran asal yang menggugurkan jajaran di PSR sepanjang 3.15km serta tiga stesen.

Bagaimanapun, MRT Corp masih mengekalkan jajaran sepanjang 1.5km di pulau PSR, manakala Stesen A1 (PSR-A) diklasifikasikan semula sebagai stesen provisional bagi menyokong pembangunan masa depan.

Pindaan lain termasuk penambahan stesen di Penang Sentral dan Bagan Luar (provisional), serta pembinaan depoh sekunder untuk simpanan kereta api di Tapak Pesta Sungai Dua.

LRT Laluan Mutiara yang mula dibina pada 2025 dan dijangka memulakan operasi pada Disember 2031, akan merangkumi sepanjang kira-kira 29.67km dengan 20 stesen dan dua stesen sementara.

Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Pemeriksaan Awam itu, MRT Corp akan membuka reruai di beberapa lokasi utama sekitar Pulau Pinang, termasuk KOMTAR, Penang Sentral dan Stesen KTM Butterworth.

Jadual penuh serta senarai lokasi boleh dirujuk di https://www.mymrt.com.my.

Bernama