Nadi baharu Mercedes-AMG untuk keluarga 45 - enjin 2.0 liter turbo paling berkuasa di dunia!

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Nampaknya, keluarga 45 di dalam divisyen Mercedes-AMG (A 45, CLA 45, GLA 45, dan GLB 45) dijangka akan menerima nadi serba baharu apabila Mercedes-AMG menerbitkan data teknikal penuh berkenaan enjin M139 serba baharu. 

Enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo itu kini mampu menjana kuasa sekitar 416 hp dengan output spesifik 208.9 kuasa kuda per liter. 

Ini menjadikan enjin M139 ini sebagai sebuah enjin empat silinder paling berkuasa di dunia untuk kereta produksi siri (produksi massa) dan kuasa output spesifik yang lebih tinggi berbanding supercar moden. 

Enjin ini akan dilengkapkan pada model-model siri 45 Mercedes-AMG seperti A 45, CLA 45, GLA 45 dan GLB 45, dimulakan dengan A 45 hatchback yang akan diperkenalkan tidak  lama lagi. 
 


M139 hadir dengan dua talaan berbeza, di mana versi asas akan menghasilkan 382 kuasa kuda dan 480 Nm (dari 4,750 - 5,000 rpm) manakala varian S pula menjana 416 kuasa kuda dan 500 Nm (dari 5,000 - 5,250 rpm). 

Sebagai perbandingan, CLA 45 ketika ini hanya menghasilkan 375 kuasa kuda dan 475 Nm. 

Berikut merupakan catatan berkenaan enjin baharu M139 Mercedes-AMG ini: 

  • tidak seperti enjin terdahulu yang diposisikan melintang, kedudukan enjin M139 adalah sebaliknya supaya manifold ekzos dan turbo diletakkan dekat dengan firewall dan sistem kemasukan pula di hadapan (berhampiran bumper). 
  • ini membolehkan seksyen hadapan yang lebih rata, sekaligus meningkatkan kadar aerodinamik
  • sistem saluran udara kemasukan juga boleh direka dengan lebih pendek
     

 

  • sistem turbocharger twin-scroll serba baharu adalah daripada jenis roller bearing bagi mengurangkan kadar geseran mekanikal
  • sistem wastegate dikawal secara elektronik sepenuhnya untuk kadar responsif enjin yang lebih baik, serta kawalan yang lebih jitu pada tekanan kemasukan
  • meminjam ciri air deflector daripada enjin 4.0 liter V8 AMG GT, ciri ini memudahkan udara memasuki perumah turbo untuk kadar penyejukan yang lebih baik
     

 

  • blok enjin adalah daripada aluminium jenis tuang sejuk - aluminium cair dituang ke dalam acuan yang disejukkan dengan cecair bagi memastikan penurunan suhu lebih cepat dan menjadikan struktur enjin lebih padat dan berkekuatan tinggi
  • disebabkan kedudukan palam pencucuh dan nozel penyuntik bahan api telah dialihkan, ia membolehkan rekaan injap ekzos yang lebih besar - memudahkan aliran gas pembakaran keluar dengan kadar kehilangan yang minimum
  • enjin M139 menggunakan ciri Camtronic (sama seperti VTEC) yang menggunakan profil camshaft berbilang bagi memberikan kuasa penuh pada putaran enjin yang tinggi serta respons yang lebih baik pada putaran enjin rendah
     

 

  • disebabkan enjin ini mempunyai kuasa output spesifik yang tinggi, ia memerlukan sistem penyejukan yang lebih berkesan.
  • sistem penyejuk enjin ini mempunyai tiga unit pengubah tenaga haba (heat exchanger) yang dikuasakan oleh pam elektrik berbilang kelajuan. 
  • sistem pam air elektrik enjin beroperasi berasingan daripada kelajuan enjin itu sendiri membolehkan blok enjin dipanaskan lebih cepat (pam beroperasi dengan lebih lewat).
  • ia juga mampu beroperasi mengikut keperluan (on-demand) dan boleh diaktifkan atau dimatikan pada kelajuan enjin yang rendah. 
     


Seperti tradisi enjin prestasi tinggi AMG, enjin M139 ini dibina dan dipasang menggunakan tenaga tangan di bawah program "One Man, One Engine" dan setiap unit yang sudah siap akan ditandatangani oleh jurutera yang membinanya (sama seperti unit enjin Nissan GT-R R35). 

Jentera AMG pertama yang bakal menerima nadi baharu ini ialah hatchback A 45 dan kemudian diikuti oleh sedan A 45, CLA 45, dan crossover GLA 45 dan GLB 45. 

Kesemua unit ini akan dibekalkan dengan transmisi automatik 9G-TRONIC, sistem pacuan semua roda (AWD) dan mod Drift. 

Sumber: Car and Driver

Berita Berkenaan

Informasi
Ia merupakan mitos semata kerana gula tidak larut dalam petrol dan ia akan kekal dalam bentuk…
Berita Global
Anda boleh mengubah kereta elektrik itu menjadi sebuah EV yang mampu menawarkan pemanduan yang…
Berita Global
Projek super dron AZ1000 yang dihasilkan oleh Arase Aizawa Aerospatiale LLC itu diperlihatkan…