Nahas 3 maut, pemandu Preve kuning didakwa

oleh Mohamad Hanif|
Jurujual kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menyebabkan tiga lelaki maut dalam kemalangan di Sitiawan, Ogos lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tertuduh, A R Sathiya Ganes, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di depan Majistret Nurul Izalina Rajaai.

Tertuduh didakwa memandu dengan berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain hingga menyebabkan kematian kepada penunggang motosikal, Mohd Suhail Zainal, 22, pembonceng, Hasrandy Bahrum, 27, dan seorang lagi penunggang motosikal, Mohd Nur Hisham Hassan, 29.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 4 Jalan Kampung Acheh-Sitiawan (hadapan Caltex Kampung Acheh) pada 5.30 petang, 21 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntuk penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika disabit bersalah.
 

preve


Seseorang yang disabitkan mengikut seksyen itu hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine dalam tubuhnya ketika ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, 4 petang pada 23 Ogos lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khazrin Haffiz Khalil, manakala tertuduh diwakili peguam S Dharmanathan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 untuk setiap pertuduhan menyebabkan kematian dan RM2,000 untuk pertuduhan dadah dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diarahkan melapor diri di balai polis terdekat dua minggu sekali dan tidak dibenarkan menganggu saksi pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 1 Oktober depan untuk penyerahan dokumen dan keputusan ujian kimia.
 

Preve


Sebelum ini media melaporkan, dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal maut, selepas kenderaan mereka dirempuh kereta.

Nahas membabitkan kereta dengan enam motosikal itu turut menyebabkan enam yang lain cedera, termasuk seorang wanita.

Sumber: Berita Harian