Nahas FRU: Pemandu lori dijamin

oleh Hamimah Hamid|
PEMANDU lori batu kerikil yang terlibat dalam kemalangan menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) minggu lalu dibebaskan dengan jaminan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner, Dr Bakri Zainal Abidin memaklumkan, majikan pemandu itu telah membayar wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025

Menurut Bakri, beliau difahamkan majikan tersebut dan kawannya berkongsi mengumpul wang jaminan tersebut.

 

"Pemandu terbabit selaku orang kena tuduh (OKT) akan dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak," katanya.

 

Jumaat lalu, tertuduh Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Teluk Intan atas sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Mengikut pertuduhan, dia sebagai pemandu lori jenis Hino didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian sembilan mangsa.

 

Perbuatan itu dilakukan di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik di daerah Hilir Perak sekitar jam 9.05 pagi 13 Mei lalu.

 

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian S Perumal, 44; Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Mohd Pozli Jaudin, 41; Nurit AK Pandak, 34; Amiruddin Zabri, 38; Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Akmal Wafi Annuar, 28.

 

Bagi kesalahan itu dia didakwa di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.

 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin di samping perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap minggu, selain lesen memandunya digantung.

 

Mahkamah turut menetapkan 17 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam.