Nahas helikopter, lapan jenazah Islam disolatkan di Surau Salahuddin Al Ayubi

oleh Hamimah Hamid|
JENAZAH lapan mangsa beragama Islam mangsa tragedi helikopter terhempas di Lumut selamat disolatkan dan diberi penghormatan terakhir di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Ipoh, kira-kira 5.40 petang tadi

Terdahulu semua jenazah tiba di kem tersebut kira-kira pukul pukul 5 petang dengan van jenazah sebaik proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh selesai jam 2.20 petang.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebaik tiba jenazah disolatkan di Surau Jumaat Salahudin Al-Ayubi Kem 23 RAMD diimamkan Pegawai Staf I Agama Markas Tentera Laut, Leftenan Kolonal Ahmad Kamil Abdullah sebelum diberikan istiadat penghormatan terakhir. 

 

Suasana pilu menyelubungi istiadat dengan kehadiran waris terdekat mangsa yang mengiringi perjalanan terakhir wira negara itu. 

 

Lapan jenazah terbabit ialah Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, Bintara Muda TLl Noor Rahiza Anuar, Komander Muhammad Firdaus Ramli dan Komander Muhamad Amir Mohamad.

 

Empat lagi jenazah milik Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi Pegawai Waran III TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

 

Selesai istiadat itu, jenazah dibawa ke destinasi yang dimohon oleh waris masing-masing untuk dikebumikan. 

 

Sementara itu jenazah mendiang Leftenan T. Sivasutan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Sitiawan, Perak sebelum disemadikan esok manakala jenazah mendiang Laskar Kanan Joanna Felicia Anak Rohna akan dibawa pulang ke Serian, Sarawak untuk disemadikan menggunakan pesawat C- 130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Semalam, dua helikopter TLDM iaitu pesawat Fennec (M502-6) dan pesawat HOM (M503-3) bertembung sebelum terhempas di pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.30 pagi.

 

Semua 10 mangsa yang berada dalam kedua-dua helikopter itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

 

TLDM dilaporkan sudah menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dua helikopter bertembung dan terhempas itu.