Naik harga tambang sempena Aidilfitri, 13 syarikat bas ekspres diberi surat tunjuk sebab

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada 13 syarikat bas ekspres atas kesalahan menaikkan harga tambang bas ekonomi, sempena musim perayaan Aidilfitri yang lalu.

Agensi berkenaan dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah itu lima syarikat diberikan surat tunjuk sebab kedua dan dipanggil ke Ibu Pejabat APAD untuk memberikan keterangan lanjut dan bukti tambahan.

APAD memaklumkan tindakan itu hasil pemantauan terhadap 101 syarikat membabitkan 371 kenderaan bagi tempoh perjalanan 15 Mac sehingga 6 April lalu, dan tertumpu kepada lapan laluan utama yang merangkumi Terminal Larkin, Terminal Bersepadu Selatan, Terminal Penang Sentral dan Terminal Kuala Terengganu.

"Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen APAD yang bersidang 15 Mei lalu, dua syarikat didapati menaikkan harga tambang bas ekspres menjelang musim perayaan.

"Sebuah syarikat itu diberikan notis amaran kerana bukti dikemukakan menunjukkan kenaikan harga tambang bersifat nominal, manakala sebuah lagi digantung operasi 14 hari kerana gagal menjawab surat tunjuk sebab kedua," menurut APAD.

"Selain itu, APAD juga akan memantau tahap pematuhan syarikat bas ekspres terhadap keperluan perkhidmatan, termasuk Amalan Kod Industri Keselamatan. APAD tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas, termasuk menggantung lesen pengendali, sekiranya didapati melanggar syarat lesen," menurut agensi itu.

APAD memaklumkan sehingga 30 April lalu, pihaknya melesenkan 177 syarikat bas ekspres yang mempunyai 3,854 permit kenderaan beroperasi di seluruh Semenanjung.

"Bas ekspres mempunyai dua jenis perkhidmatan iaitu perkhidmatan ekonomi dan eksekutif.

Sejak 9 September 2013, tambang siling bas ekonomi dikawal pada kadar RM0.093 setiap kilometer dengan had tambang sebanyak 10 peratus pada musim perayaan, manakala tiada tambang siling untuk bas eksekutif," menurut agensi itu.

APAD memaklumkan pihaknya akan meneruskan pemantauan terhadap operasi syarikat bas ekspres dari semasa ke semasa, terutama pada musim perayaan bagi mencegah sebarang kenaikan harga tambang melebihi kadar siling dibenarkan.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, berdasarkan rekod APAD, 37 waris mangsa menetap di Terengganu, empat di Kelantan,…
Berita Domestik
"Saya dah arahkan kepada JPJ dan juga APAD supaya lebih agresif dari segi pemantauan terutamanya…
Berita Domestik
Beliau berkata, fokus utama operasi adalah untuk menilai tahap pematuhan syarikat terhadap aspek…