Naik taraf sistem LRT Kelana Jaya, lebih 27,000 pengguna tren dijangka terkesan

oleh Penyumbang Rencana|
foto Bernama
Kerja naik taraf sistem semboyan Laluan Kelana Jaya dijangka memberi kesan kepada lebih 27,000 pengguna tren, menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Dr Prodyut Dutt.

Proses ini akan dilaksanakan dalam dua fasa utama.

Fasa 2 bermula 9 Ogos hingga 14 September melibatkan 10 stesen dari KLCC hingga Gombak, manakala Fasa 3 berlangsung 11 Oktober hingga 22 November merangkumi 17 stesen dari Lembah Subang hingga Ampang Park.

“Kami akan menaik taraf semua isyarat termasuk perisian dan perkakasan kerana kedua-duanya sudah usang.

Penambahbaikan kritikal untuk keselamatan siber dan analisis data turut dilaksanakan,“ jelas Dutt dalam sidang media pada Isnin.

Beliau menegaskan kerja naik taraf diperlukan bagi memastikan sistem yang beroperasi selama 25 tahun ini lebih selamat dan boleh dipercayai, sekaligus mengurangkan risiko gangguan operasi pada masa depan.

Bagi memudahkan pengguna, waktu operasi tren bagi stesen terlibat akan bermula pada 9 pagi berbanding 6 pagi untuk membolehkan ujian menyeluruh sistem semboyan baharu sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Nor Azmi Mohd Yusof menambah, mesin penjualan tiket hanya akan dibuka pada 8.45 pagi bagi mengelakkan kekeliruan.

“Bas dan van perantara percuma akan disediakan untuk menghubungkan stesen terlibat.

Sebanyak 13 bas perantara, lima bas ulang-alik, dan lima van disediakan untuk Fasa 2, manakala Fasa 3 menyaksikan 60 bas dan lima van perantara,“ jelasnya.

Prasarana turut mengerahkan kakitangan stesen, polis bantuan, dan sukarelawan Prasarana Troopers bagi membantu pengguna.

Maklumat lanjut boleh didapati di https://www.myrapid.com.my atau media sosial Rapid KL.

Bernama

Berita Berkenaan

Informasi
"Perolehan 27 set tren baharu ini membolehkan kami memperkukuh operasi Laluan Kelana Jaya, sekali…
Berita Domestik
Kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 3.30 petang telah mengakibatkan tren-tren tambahan dari…
Berita Domestik
Saman tersebut dikemukakan oleh plaintif iaitu Tengku Amalie Tengku Alauddin Shah, 47, Marvena…