Nanta - 119 tempat teduh motosikal bakal dibina di lebuh raya tahun depan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Buletin TV3
Sebanyak 119 tempat berteduh motosikal bakal dibina di lebuh raya seluruh negara menjelang tahun 2024.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penambahan itu menjadikan 472 jumlah keseluruhan kemudahan disediakan untuk kegunaan penunggang motosikal di negara ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Katanya, penambah baikan kemudahan yang membabitkan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta 33 syarikat konsesi itu bermula pada suku ketiga tahun ini tanpa sebarang peruntukan kerajaan.

"Sebelum ini memang sudah ada iaitu 353 tempat berteduh motosikal tetapi masih tidak mencukupi jadi akan ditambah lagi 119 mulai tahun ini.

"Saya difahamkan, daripada jumlah itu 40 tempat berteduh motosikal ini akan disediakan tahun ini dengan kosnya dikeluarkan sendiri syarikat konsesi.

"Syarikat konsesi lebuh raya juga diminta menyiapkan kemudahan ini dengan segera di lokasi yang tidak memerlukan kos tinggi untuk meningkatkan keselamatan pengguna lebuh raya," katanya selepas majlis perasmian tempat berteduh di persimpangan Kota Damansara, Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), di Petaling Jaya pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Pengarah LLM, Sazali Harun; Pengarah Urusan Plus, Datuk Nik Airina Nik Jaffar serta wakil syarikat konsesi.

Mengulas lanjut, Nanta berkata, KKR dan LLM sentiasa terbuka menerima cadangan lokasi tambahan lain daripada semua syarikat konsesi lebuh raya sekiranya wujud permintaan dan keperluan pada masa akan datang.

"Kos serta saiz keluasannya berbeza mengikut syarikat konsesi tetapi keperluan ini sangat penting bagi mengelak risiko kemalangan dalam kalangan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal yang mahu berlindung semasa hujan.

"Jadi, saya galakkan dan meminta kerjasama syarikat konsesi supaya menyediakan lebih banyak kemudahan ini di lebuh raya masing-masing," katanya.

Beliau turut menasihati penunggang motosikal berwaspada berikutan lorong kecemasan bukanlah laluan eksklusif untuk golongan itu saja kerana turut digunakan kenderaan lain yang berhenti atas faktor kecemasan.

"Penunggang motosikal dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan lorong kecemasan berikutan laluan itu juga digunakan pengguna lebuh raya lain terutama apabila kereta terpaksa berhenti akibat rosak.

"Mereka perlu berwaspada terhadap sebarang halangan di lorong kecemasan, memberikan tumpuan dalam setiap perjalanan dan disyorkan berhenti berteduh atau berehat pada lokasi teduhan motosikal yang disediakan," katanya.