Naza Eastern lancar Suzuki Swift Sport Silver Edition 2023 - dari RM146k

oleh Mohamad Hanif|
Bersempena dengan pembukaan pusat 3S Suzuki di Johor, Naza Eastern Motors turut mengambil kesempatan dengan melancarkan model baharu Swift Sport Silver Edition 2023.

Suzuki Swift Sport Silver Edition ini diimport sepenuhnya dari Jepun (CBU) dengan membawakan warna luaran Premium Metallic Silver, diikuti kemasan gentian karbon pada perumah cermin sisi, tiang C, spoiler belakang, serta tip ekzos Akrapovic.
 

silver


Tema gentian karbon turut dibawakan pada ruang kabin, di mana anda boleh melihat kemasan aksen tersebut pada panel instrumen, suis ventilasi dan juga trim pintu.

Unit infohibur Swift Sport ini telah dinaiktaraf kepada skrin Soundstream bersaiz 10 inci, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
 

silver


Dibangun menggunakan platform HEARTECT, Suzuki Swift Sport ini mengekalkan nadi empat silinder sebaris 1.4 liter BOOSTERJET menghasilkan 140 hp dan daya kilas 230 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik enam nisbah kelajuan.

Harga jualan Suzuki Swift Sport Silver Edition ini bermula dari RM145,900, tidak termasuk insurans.

Pusat 3S Suzuki yang baharu sahaja dibuka merupakan pusat 3S pertama di Johor yang terletak di Permas Jaya.
 

Swift


Memiliki keluasan sekitar 7,252 kaki persegi, ia menyediakan perkhidmatan jualan, alat ganti dan khidmat selepas jualan, selain ruang yang mampu memuatkan sehingga enam kenderaan pameran, dan berupaya menerima sehingga 12 buah kenderaan untuk diservis dalam masa sehari.

Selain itu, pusat 3S ini turut menyediakan sudut khas Suzuki Lifestyle Corner, direka untuk para peminat Suzuki mendapatkan aksesori tulen Jimny atau Swift Sport, serta barangan eksklusif Suzuki.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menerusi promosi kali ini, para pelanggan berpeluang untuk membawa pulang hatchback Suzuki Swift…
Pelancaran
  Swift Sport generasi baharu diimport sepenuhnya dari Jepun, dan senarai menunggu dijangka akan…
Berita Domestik
Menurut satu hantaran daripada salah seorang penasihat jualan Naza, tempahan untuk Suzuki Swift…