Naza Italia lancar supercar GT terbaharu Ferrari Portofino

oleh Mohamad Hanif|
Naza Italia, syarikat pengimport dan pengedar rasmi bagi jenama Ferrari di Malaysia telah memperkenalkan Ferrari Portofino di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Ferrari Portofino yang sebelum ini diperkenalkan pada Frankfurt International Motor Show tahun lepas direka dengan kombinasi elemen kemewahan, keselesaan dan versatiliti.


Nama yang diinspirasikan daripada sebuah kampung yang terkenal di kawasan Liguaria Itali, Ferrari Portofino melambangkan simbol kecantikan serta kehidupan seharian yang elegan.

Menurut CEO Kumpulan Automotif Naza, Dato Anand Samson, "Ferrari Portofino merupakan kereta convertible paling berkuasa di dalam kelas GT yang diperkenalkan di Malaysia."

"Pihak Naza amat bertuah dapat membawa masuk model GT yang direka memberikan dinamik pemanduan jitu, keselesaan, prestasi yang ekstrem, serta inovasi berteknologi tinggi bagi memenuhi kehendak pelanggan kami," tambah beliau.
 


Dengan rekaan agresif konfigurasi two-box fastback, ditambah pula ciri bumbung yang boleh dilipat, ia menambah lagi imej dan perwatakan sporty Ferrari Portofino.

Dari segi dinamik pengendalian, Ferrari telah mengintegrasikan teknologi E-Diffs generasi ketiga dengan ciri F1-Trac bagi meningkatkan tahap cengkaman mekanikal dan pengendalian apabila dipaksa ke tahap maksimum.

Ferrari Portofino juga merupakan kereta GT pertama yang dilengkapi dengan stereng kuasa elektrik (EPS).

Gabungan kedua ciri di atas mampu meningkatkan tahap responsif kereta tanpa mengorbankan tahap kestabilan kenderaan pada kelajuan yang tinggi.
 


Sistem gantungan juga telah dipertingkatkan dengan adaptasi teknologi dua lingkaran (dual coil technology SCM-E) bagi mengurangkan kadar olengan badan ketika sistem suspensi menyerap segala hentakan dan permukaan jalan yang pelbagai.

Keselesaan pengguna juga tidak dilupakan dengan penambahan ciri kerusi boleh laras kuasa elektrik dengan 18 tetapan, stereng rekaan terbaharu, serta ruang kaki penumpang yang luas menambah lagi ciri versatiliti Ferrari Portofino sebagai kenderaan seharian.

Pihak Kumpulan Automotif Naza mengumumkan harga penjualan Ferrari Portofino ini bermula dari RM948,000 tidak termasuk cukai serta pakej tambahan.
 


Spesifikasi ringkas Ferrari Portofino

Enjin bentangan V8 dengan turbo 90°
Sesaran 3855 cc
Kuasa maksimum 441 kW pada 7500 rpm
Tork maksimum 760 Nm pada julat 3000 - 5250 rpm
Transmisi DCT F1 dengan 7 nisbah kelajuan
Kawalan elektronik ESC, ESP, F1-Trac, E-Diff, S
Dimensi 4586 x 1938 x 1318 mm
Berat 1545 kg
Tangki 80 liter
Laju maksimum 320 km/j
0-100 km/j dalam masa 3.5 saat
100-0 km/j 34 m jarak berhenti

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari Benedetto Vigna yakin bahawa Ferrari boleh terus menjual kereta…
Berita Domestik
Ital Auto Malaysia merupakan anak syarikat kepada Ital Auto Pte Ltd, yang juga merupakan pengimport…
Berita Domestik
Baru-baru ini, terdapat laporan bahawa sebuah syarikat milik jutawan kelahiran Ipoh, Ong Beng Seng…