NAZA mahu tinggalkan Ducati dan Maserati?

oleh HEZERI SAMSURI|
Dua hari lalu Kumpulan Automotif Naza (Naza Auto) mengumumkan rancangan mereka untuk menyusun semula perniagaan mereka secara strategik.

Secara ringkasnya, Naza Auto mahu memberikan tumpuan kepada dua jenama automotif mereka, Suzuki dan Mercedes-Benz. apa akan jadi kepada Ducati dan Maserati pula?

Itu yang kita akan bincangkan kali ini.
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025

Naza Eastern Motors, pengimport dan pengedar rasmi jenama kereta Suzuki disebut bakal meluaskan rangkaian pengedaran mereka kepada lebih dari 100 peratus. Buat masa sekarang, jenama itu mempunyai hanya tiga cawangan di seluruh negara, iaitu di Petaling Jaya, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Ketika pelancaran cawangan Pulau Pinang dalam bulan Januari lalu, syarikat itu telah pun mengumumkan pembukaan lima lagi cawangan di Kuching, Klang, Muar, Langkawi dan Labuan. Ini bermakna pengumuman yang baharu dibuat bukanlah sesuatu yang baharu pun.

 

 

Tahun lalu, Suzuki menjual sebanyak 624 unit kenderaan melalui Naza Eastern Motors, dan dari maklumat yang dinyatakan oleh data.gov.my, sebanyak 1,420 unit kenderaan Suzuki telah didaftarkan dalam tahun yang sama. 

Kemungkinan besar baki sebanyak 796 unit itu didaftarkan oleh syarikat-syarikat kenderaan import terpakai (recon) dan ini bermakna pasaran "recon" mengatasi jumlah jualan oleh pengimport rasmi sendiri.

Ia juga bermakna pembukaan lebih banyak cawangan Suzuki oleh Naza adalah satu tindakan tepat kerana ia akan meningkatkan lagi jualan mereka. Cuma diharapkan agar ada lagi model-model baharu oleh Suzuki yang sesuai dengan "harga premium" sekarang.

Untuk jenama Mercedes-Benz pula, Naza Auto mengumumkan ia akan melancarkan semula dewan pameran NZ Wheels di Bangsar dalam suku ketiga tahun ini.  

Naza juga masih menjadi pemegang permit import (AP) untuk Mercedes-Benz Malaysia untuk unit-unit CBU. Fokus kepada jenama ini memang sudah dijangka kerana ia tidak memerlukan pelaburan dan usaha yang banyak.

 

 

 

Industri mula menimbulkan tanda tanya bila Naza Auto tidak menyebut dua lagi jenama yang ada di dalam pegangan mereka - Ducati dan Maserati.

Sebelum ini, Naza Auto telah berhenti menjadi pengimport dan pengedar rasmi untuk pelbagai jenama automotif yang lain termasuk Kia, Peugeot, Harley-Davidson, Vespa, Aprilia, Ferrari dan lain-lain.

Ini menghangatkan lagi desas desus bahawa kumpulan itu akan melepaskan kedua jenama premium Itali tersebut (Ducati dan Maserati).

Ada juga yang "nakal" berkata ini ialah detik kejatuhan Naza dalam bidang automotif tetapi pada pendapat saya, tidak.

Kebanyakan pakar ekonomi sudah mula memperkatakan kejatuhan industri automotif global. Ia dimasukan dalam kategori "sunset industry", iaitu industri yang semakin malap. Alasan utama ialah bagaimana dunia tidak lagi memberi fokus kepada penjualan kenderaan kerana kenderaan masa hadapan ialah kenderaan berautonomi (pandu sendiri) yang dimiliki oleh syarikat pengangkutan seperti Uber, Grab dan sebagainya.

Kemasukan jenama baharu yang hadir dengan harga murah tetapi tidak mempunyai fokus kepada khidmat selepas jualan juga menguatkan teori "kenderaan pakai buang". 

Pengguna pula percaya bahawa selama ini syarikat kenderaan menyorok keuntungan yang sangat besar dan jenama-jenama baharu dari China ini yang sebenarnya "baik hati" dan menjual dengan harga yang "betul". 

Ini ialah satu topik yang kita boleh bincangkan kemudian kerana dalam dunia sekarang, pengguna memang cukup mudah tertipu. 

 

 

Berbalik kepada Naza Auto, jenama-jenama seperti Ducati dan Maserati bukanlah jenama yang mudah. Ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk mengekalkan Identiti Korporat (CI) tetapi ia tidak mampu menjual banyak kenderaan kerana harga yang cukup premium.

Identiti Korporat ialah imej yang perlu diberikan bagi menggambarkan jenama yang premium. Contoh mudah, dewan pameran jenama biasa seperti Honda dan Toyota tidak perlu perabot-perabot dari Itali atau dewan pameran yang premium. 

Untuk jenama premium, terutama dari Itali, gaya itu perlu dan gaya bukanlah sesuatu yang murah. Bayangkan cabaran untuk membuat majlis rasmi di mana ia perlu nampak "mewah" walaupun sebenarnya bajet yang diberikan cukup rendah.

Jenama premium sebenarnya lebih digunakan oleh syarikat-syarikat sebagai "penghias" port-folio agar menarik perhatian pelabur dan pemegang saham. Untuk syarikat milik keluarga seperti Kumpulan Naza, tidak ada pelabur yang perlu diyakinkan. Semua yang dibelanjakan akan datang dari poket mereka sendiri.

 

 

Benar, Kumpulan Naza bermula dari industri automotif. Pengasasnya, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin memulakan empayar beliau dalam tahun 1975 dengan membawa masuk kenderaan import terpakai.

Tidak seperti kebanyakan pemegang AP Recon yang lain, Allahyarham menggunakan peluang yang ada untuk mengembangkan perniagaan beliau dan menjadi pengimport, pengedar dan pemasang bagi jenama-jenama global.

Kumpulan Naza di bawah Tan Sri juga membuat kompleks kilang automotif di Gurun dan pernah mempunyai hampir 5,000 orang pekerja. 

Sekarang ini, kumpulan itu sebenarnya sudah beralih fokus kepada industri yang berbeza dan secara jujur, saya kira ia adalah satu keputusan yang bijak. Kehadiran jenama-jenama baharu yang digelar penggugat atau "disruptor" ini memang akan memberi masalah kepada pemain-pemain sedia ada.

Untuk pengguna, bahana sebenar masih belum dirasai kerana sekarang masih lagi waktu berbulan madu. 

Industri hartanah contohnya, walaupun tidak "glamour" seperti automotif, ia jauh lebih menguntungkan.

Penjajaran fokus bidang perniagaan adalah satu lumrah di dalam dunia sekarang. Jika ia tidak lagi mahu fokus kepada bidang automotif kerana ia tidak lagi menguntungkan atau tidak ada lagi minat atau kepakaran, tidak bermakna syarikat itu tidak berkembang.

Rasanya sekira saya mempunyai syarikat seperti itu pun, saya mungkin akan membuat keputusan yang sama kerana jika syarikat nasional sendiri terpaksa bekerja keras untuk meneruskan kehidupan kerana kerajaan cukup gembira dengan kehadiran pemain baharu dari satu negara itu, apa lagi nasib syarikat-syarikat milik persendirian.

Mengharap guruh di langit, air tempayan ditumpahkan. 

Jangan sampai kita buang apa yang kita telah ada untuk mencapai sesuatu yang belum pasti. Malaysia bukan baharu di dalam dunia automotif dan kita ada ramai pelabur yang sudah lama datang membantu.

Kepada mereka yang berminat untuk membeli jentera-jentera Ducati dan Maserati pula, jangan risau kerana perkara terakhir yang mana-mana pihak akan lakukan ialah meninggalkan pemilik terkapai-kapai.

Pastinya kepentingan pelanggan tetap diutamakan, walaupun jika benar ada syarikat lain yang berminat untuk mengambil alih.

Wallahuallam.

 

 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Naza juga dikatakan telah menjual kebanyakan cawangan Kia miliknya kepada pengedar-pengedar Kia…
Hezeri Samsuri
Bab Kumpulan Naza adalah satu-satunya syarikat pemegang AP yang berjaya membuka kilang kenderaan,…
Berita Domestik
Menurut satu sumber yang rapat di dalam industri, rundingan antara Suzuki dan Naza dijangka akan…