NIO ET5 - sedan elektrik lawan Tesla Model 3, jarak gerak 1,000 km!

oleh Mohamad Hanif|
Syarikat pengeluar EV premium NIO baru-baru ini melancarkan sebuah model sedan mewah kompak ET5 dengan penarafan lima bintang C-NCAP dan Euro NCAP bagi melawan model-model sedia ada Tesla Model 3 dan BMW i4.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Secara kasarnya, ia dilihat membawakan rekaan yang hampir serupa dari segi luar dan dalaman dengan model ET7 yang lebih besar, namun dengan dimensi yang lebih kecil.

NIO ET5 berukuran 4,790 mm panjang, 1,960 mm lebar, tinggi 1,499 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,888 mm, lebih besar berbanding Tesla Model 3.
 

ET5


NIO ET5 dikuasakan oleh dua motor elektrik, 201 hp di depan dan 281 hp di gandar belakang, membawakan kuasa gandingan 483 hp, daya kilas 700 Nm dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat.

Sistem pemberhentian pula mendapat angkup empat omboh aluminium tuang yang mampu menghentikan sedan ini pada jarak 33.9 meter (100-0 km/j).
 

ET5


Pek bateri pula ditawarkan dalam tiga versi, di mana versi asas Standard Range 75 kWh membenarkan jarak pemanduan sejauh 550 km, diikuti versi Long Range 100 kW (700 km) dan versi Ultralong Range 150 kW dengan jarak operasi melebihi 1,000 km!

Ruang kabin NIO ET5 menampilkan skrin kluster instrumen HDR bersaiz 10.2 inci, serta sistem pencahayaan ambien 256 warna, sistem bunyi keliling Dolby Atmos 7.1.4 serta skrin tablet pada konsol tengah yang agak besar yang hadir dengan ciri PanoCinema - paparan kokpit digital dengan teknologi realiti maya dan terimbuh (AR & VR).
 

ET5


NIO ET5 turut membawakan ciri bantuan pemanduan termaju dan pemanduan autonomi NIO (NAD), dibantu dengan sistem NIO Aquila Super Sensing dan NIO Adam Super Computing yang membenarkan pemanduan autonomi yang lebih selamat di laluan lebuh raya, kawasan urban, parkir serta tidak ketinggalan ketika proses penukaran bateri.

Ciri penuh NAD ini boleh didapati kelak pada harga langganan serendah RMB680 (RM450) sebulan di bawah kategori ADaaS (AD-as-a-Service).

NIO ET5 akan muncul di pasaran China pada September 2022 dengan harga jualan bermula dari RMB328,000 (RM217,357), atau RMB258,000 (RM170,696) dengan ciri BaaS (Battery-as-a-Service).