Nissan 400Z - Empat perkara yang harus anda tahu berkenaan pengganti 370Z

oleh Mohamad Hanif|
Setelah sekian lama para peminat menghabiskan masa menunggu dan terus menunggu, akhirnya berita berkenaan model pengganti Nissan 370Z sampai juga ke tangan kami.

Pengganti Nissan 370Z yang bakal dinamakan sebagai Nissan 400Z itu dikatakan akan diperkenalkan secara rasmi dalam masa 12 bulan ini, dan sebelum ini kita juga telah puntahu bahawa Nissan telah mendaftarkan tanda dagang bagi logo Z yang diperbaharui itu.

Di bawah, kami bawakan beberapa informasi lanjut berkenaan Nissan 400Z yang ditunggu-tunggu itu.

 

1. 400Z = 400 kuasa kuda!


Bermula dari 240Z, angka designasi yang digunakan oleh Nissan Fairlady semakin meningkat mengikut generasi, iaitu 260Z, 280Z, 300ZX, 350Z dan generasi terkini yang membawakan angka 370Z.

Namun untuk generasi baharu 400Z, Nissan akan menggunakan trenkuasa yang diperoleh daripada Infiniti Q60, iaitu enjin 3.0 liter bentangan V6 turbo berkembar yang mampu menghasilkan 400 kuasa kuda.

Jika di dalam model asal Q60, kuasa yang dihasilkan mampu memberikan pecutan sepantas 5.0 saat dari 0-100 km/j dan Nissan juga telah menguji prestasi enjin ini di dalam badan 370Z yang digandingkan dengan transmisi manual.

 

2. Transmisi manual? Yes please!


Trenkuasa asal digandingkan dengan transmisi automatik pada model Q60, namun Nissan telah mengesahkan bahawa pengganti 370Z ini bakal hadir dengan kotak gear manual.

Ini satu berita gembira bagi para peminat sejati Nissan Z, namun Nissan juga akan turut menawarkan opsyen automatik untuk mereka yang tidak gemar kereta berpedal tiga.

Ia juga merupakan satu kelebihan besar kepada Nissan 400Z memandangkan ada pesaingnya yang tidak langsung didatangkan dengan opsyen manual.

Lihat sahaja Toyota GR Supra.

 

3. Platform Infiniti Q


Walaupun Nissan tidak mendedahkan secara rasmi platform apakah yang bakal digunakan pada Nissan 400Z, namun untuk kereta sports pacuan roda belakang, ia harus menggunakan calon platform yang bukan calang-calang.

Menurut laporan daripada Autocar, antara calon yang sesuai dan ada pada inventori Nissan pada ketika ini adalah platform pacuan roda belakang Infiniti yang menghasilkan Q50 dan juga Q60.

Pembaharuan juga akan turut dilakukan di bahagian kabin, di mana aspek ini merupakan antara kegemaran para pengkritik disebabkan rekaan asal terlalu ketinggalan zaman.

Nissan dikatakan akan menggunakan sumber bahan yang berkualiti tinggi serta sistem infotainmen yang lebih moden dan dilengkapi dengan perkhidmatan terhubung.


4. Elemen klasik Z


Beberapa bulan yang lalu, Nissan telah pun mendaftarkan tanda dagang bagi logo korporat Nissan, serta logo baharu Z yang ditampilkan dengan gaya klasik.

Ini mengingatkan kita kepada logo Z yang terpampang pada model-model klasik Z seperti Datsun 240Z, 260Z dan juga 280Z.

Apakah makna disebalik logo klasik tersebut?

Berdasarkan berita yang pernah kami siarkan sebelum ini, Nissan 400Z bakal hadir dengan rekaan baharu, dan ia banyak dipengaruhi oleh rekaan asal Nissan Fairlady Z.

Seperti contoh, muka hadapan diinspirasikan daripada hidung 240Z, manakala rekaan lampu belakang pula hadir daripada Nissan 300ZX.

 


Sumber: Autocar UK
Sumber gambar utama: Instagram Lee Yang

Berita Berkenaan

Berita Global
Umum juga mengetahui bahawa rekaan sebenar versi produksi Nissan Z (atau Nissan 400Z berdasarkan…
Berita Global
Meskipun gambar tersebut dilihat kabur (atau sengaja dikaburkan), ia menampilkan tempat duduk yang…
Berita Global
Ini dibuktikan dengan lebih jelas lagi menerusi gambar bocor yang baharu sahaja diperoleh Autoblog…