Nissan Ariya EV 2022 - konfigurasi RWD dan AWD, jarak operasi sehingga 610 km

oleh Mohamad Hanif|
Acara Tokyo Motor Show 2019 telah membawakan kita kepada pengenalan model konsep Nissan Ariya - sebuah crossover dengan trenkuasa elektrik sepenuh kuasa - dan kini ia hadir dalam versi produksi penuh untuk tahun 2022.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Terdapat dalam empat pilihan kuasa, di mana versi asas Nissan Ariya bakal hadir dengan konfigurasi pacuan roda belakang dan pek bateri 65 kWh, dengan angka output keseluruhan 215 hp dan 300 Nm.

Varian aras mula Ariya ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat dengan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 160 km/j sahaja, dan jarak operasi sejauh 450 km.

 


Versi pacuan roda belakang yang lebih berkuasa pula hadir dengan pek bateri yang lebih besar (90 kWh) dan mampu menjana 239 hp dan 300 Nm, jarak operasi sejauh 610 km namun dengan pecutan 0-100 km/j yang sedikit perlahan (7.6 saat).

Sementara itu, versi pacuan semua roda pula didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik berkembar dan pek bateri 65 kWh yang menghasilkan 335 hp/560 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat dengan jarak operasi sejauh 430 km.

Terdapat versi tertinggi AWD yang hadir dengan pek bateri 90 kWh dengan angka output 389 hp/600 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat sahaja dan jarak operasi sejauh 580 km untuk sekali caj penuh.

 


Dari segi rekaan, Nissan mengekalkan falsafah rekaan "Timeless Japanese Futurism" yang terdapat pada Nissan Ariya Concept, dan menampilkan logo baharu Nissan dengan gril 'perisai' yang memaparkan efek tiga dimensi.

Elemen V-motion ternyata nampak lebih moden dengan jalur lampu nyalaan siang LED dan boleh berperanan sebagai lampu membelok, serta gugusan lampu utama LED dan lampu belakang yang tidak banyak berubah daripada model konsep asal.

 


Sementara ruang kabin pula direka supaya lebih menampakkan rekaan yang lebih futuristik, seakan sebuah pusat kawalan kapal angkasa dengan rekaan papan pemuka 'terapung' antara dua tiang A.

Sistem infotainmen pula adalah bersaiz 12.3 inci dan diserikan dengan skrin paparan digital bersaiz 12.3 inci yang turut menyokong kemaskini over-the-air.

Boleh dikatakan tiada kelihatan sebarang butang fungsi fizikal, sebaliknya digantikan dengan sistem berasaskan sentuhan yang 'tertanam' pada papan pemuka bagi mengawal suhu kabin dan beriluminasi ketika digunakan.

 


Ciri bantuan pemanduan pada Nissan Ariya adalah menggunakan sistem ProPILOT 2.0 yang terkini yang terkini, terdiri daripada bantuan tujuh unit kamera, radar bergelombang 5 mm serta 12 penderia sonar ultrasonik di mana sistem ini membenarkan pemandu untuk mengalihkan tangan daripada kawalan stereng di dalam keadaan tertentu.

Nissan Ariya EV akan mula dijual di pasaran Jepun pada pertengahan tahun 2021 dengan harga bermula dari 5 juta yen (RM199,594) sebelum diperluaskan untuk pasaran Eropah, Amerika Utara dan China menjelang akhir tahun 2021.

Berita Berkenaan

Berita Global
Lebih tepat lagi, mereka memandu sebuah Nissan Ariya EV dan menurut rekod pasangan itu telah…
Berita Global
Menurut laporan, semasa ujian produksi dijalankan pada Januari 2022, Nissan mendapati operasi motor…