Nissan dan Honda Kembali Berbincang Untuk Kerjasama Baharu

oleh Qalif Latif|
Nissan dan Honda dilaporkan kembali ke meja rundingan selepas percubaan awal untuk mencapai persetujuan ke arah penggabungan atau kerjasama modal gagal pada awal tahun ini. Menjelang penghujung 2025, kedua-dua jenama Jepun itu sekali lagi meneroka kemungkinan kerjasama baharu.

Ketua Pegawai Kewangan Nissan, Ivan Espinosa memaklumkan kepada Nikkei Asia bahawa mereka sedang membincangkan projek kenderaan bersama Honda yang disasarkan untuk pasaran Amerika Syarikat. Projek ini masih di peringkat awal namun berpotensi melibatkan pembangunan perkongsian platform kenderaan serta sistem rangkaian kuasa.

Amerika Syarikat merupakan pasaran terbesar bagi Honda dan Nissan. Namun Nissan ketika ini berdepan penurunan jualan yang ketara akibat kekurangan penawaran model hibrid. Honda pula mempunyai kelebihan dalam teknologi hibrid yang kukuh di pasaran tersebut. Keadaan ini memberi peluang untuk Nissan memanfaatkan kepakaran Honda bagi meningkatkan jualan semula.

Laporan turut menyebut kilang Honda di AS ketika ini tidak digunakan pada kapasiti optimum. Kerjasama dengan Nissan boleh menaikkan semula kadar penggunaan kilang selain mengurangkan kerugian. Nissan juga dilaporkan mempertimbangkan pengeluaran trak pikap di kilang Honda sebagai sebahagian daripada rundingan.

Dengan situasi semasa bagi kedua-dua syarikat, usaha bergabung tenaga mungkin menjadi langkah penting untuk menyelesaikan masalah yang sedang mereka hadapi. Kini hanya tinggal persoalan sama ada rundingan kali ini akhirnya mencapai persetujuan atau kembali menemui jalan buntu.

Berita Berkenaan

Berita Global
Perkembangan itu dibentangkan sempena Persidangan Akademik ke-30 “Wildlife and Society” yang…
Berita Global
Imej teaser hanya memaparkan bahagian belakang kenderaan dengan pencahayaan minimum, namun cukup…
Berita Global
Pengeluar automotif dari Jepun itu mengumumkan beberapa inisiatif baharu dalam strategi produk…