
Nissan sebenarnya telah mendahului Toyota dengan mempertontonkan tiga pikap konsep termasuk Frontier Project Hardbody pada April 2022.
Dua lagi ialah Frontier Project 72X dan Frontier Project Adventure dan artikel mengenainya pernah diterbitkan di dalam Careta.
Lebih setahun, projek Hardbody menjadi realiti dan ditawarkan kepada pengguna di Amerika Syarikat.

Nissan Frontier 2024 digerakkan enjin VQ38 3.8 liter V6 DIG petrol yang menghasilkan 310 kuasa kuda (hp) pada 6,400 rpm dan tork 381Nm pada 4,400 rpm.
Enjin itu dipadan bersama transmisi automatik sembilan kelajuan dan Hardbody Edition menggunakan pacuan empat roda separuh masa.
Tiada enjin 2.5 liter diesel turbo seperti Navara yang turut mengguna nama Frontier di beberapa pasaran.

Nissan menawarkan sejumlah varian Frontier di Amerika Syarikat dan pakej Hardbody Edition dibuat khusus untuk pelanggan Frontier SV Crew Cab 4x4 SWB.
Sekali pandang, Hardbody Edition boleh dikaitkan dengan mudah oleh sesiapa yang biasa dan mempunyai pengalaman bersama Hardbody 80-an.
Selain warna merah menyala, pikap era baharu ini menonjol dengan rim aloi 17 inci yang dibuat seperti model asal. Rim tiga rongga itu dibalut tayar semua permukaan (AT).

Lagi kelengkapan seperti plat penahan aluminium, pendakap gerbang roda lebar, rel sisi hitam, penghadang lumpur dan palang kotak kargo.
Sama seperti model 80-an, Hardbody Edition menggunakan perkakasan hitam seperti bampar, cermin sisi, hendal pintu dan jeriji.
Grafik hitam dan logo 4x4 menyerikan lagi penampilan pikap ini.

Nissan melengkapi kesemua varian Frontier dengan teknologi bantuan pemanduan Amaran Lencongan, Amaran Titik Buta dan Peringatan Lintasan Trafik Belakang.
Turut dilengkapi Brek Belakang Automatik, Bantuan Lampu Alur Tinggi, Kawalan Pandu Pintar, Sistem Sonar Belakang dan Amaran Pelanggaran Depan.
Nissan Frontier SV Crew Cab 4x4 SWB dijual pada harga AS$36,870 (RM172,677) dan AS$3,890 (RM18,218) untuk pakej Hardbody Edition.
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Kredit: Nissan
