Nissan GT-R GT23, 650 hp, pacuan roda belakang - dan halal digunakan atas jalan raya!

oleh Mohamad Hanif|
Lupakan seketika kehadiran Nissan GT-R50, anda perlu lihat sejenak kepada jentera lumba Nissan GT-R GT23 hasil kerja tangan JRM Group.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02


Ya, ia merupakan sebuah jentera lumba, menggunakan asas daripada Nissan GT-R kelas GT1 - lengkap dengan spesifikasi perlumbaan namun ia kini halal digunakan di atas jalan raya. 

Tidak seperti Nissan GT-R GT1 yang menggunakan enjin aspirasi natural 5.6 liter V8, pihak JRM Group masih mengekalkan penggunaan nadi asal GT-R bentangan V6 VR38DETT yang menghasilkan 650 kuasa kuda yang dipadankan dengan sistem transmisi sequential enam nisbah kelajuan. 

Namun, tidak seperti majoriti Nissan GT-R yang memiliki pacuan semua roda, jentera GT23 ini menyalurkan sepenuh kuasa kepada gandar belakang sahaja!

 


Sistem suspensi juga turut ditala semula dan dengan menggunakan tayar slick perlumbaan, Nissan GT-R GT23 ini mampu mencapai kadar cengkaman di selekoh setinggi 2G. 

Rekaan fender hadapan juga turut ditelitikan semula bagi memuatkan liang di bahagian belakang roda hadapan, manakala bukaan ekzos pula dialihkan ke bahagian tengah bumper belakang. 

Turut kelihatan pemasangan sayap besar di bahagian belakang bagi memberikan lebih daya turun ketika kelajuan tinggi. 

Mengakhiri perubahan pada Nissan GT-R GT23 ini adalah ruang kabin yang direka supaya lebih menyerupai jentera lumba sebenar - ringkas dengan tempat duduk yang memiliki bolster yang besar, roda stereng bawah rata, serta paparan digital di hadapan pemandu. 
 


JRM Group tidak mengehadkan tempahan kepada beberapa buah negara, dan anda boleh mencuba nasib untuk mendapatkan unit anda dan membawa pulang ke Malaysia. 

Namun, barang harus diingat, pihak JRM Group hanya sekadar menghasilkan 23 unit sahaja dengan harga jualan bermula dari £380,000 (RM2.082 juta).