Nissan GT-R50 2020 rasmi dilancarkan - harga dari RM4.7 juta

oleh Mohamad Hanif|
Setelah memperlihatkan beberapa buah gambar rendering dan prototaip, Nissan akhirnya melancarkan secara rasmi kereta sports Nissan GT-R50 yang direka oleh Italdesign baru-baru ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pada asalnya, kereta edisi terhad ini dirancang pengenalannya di Geneva, namun perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan oleh kerana wabak COVID-19 yang melanda dunia pada ketika itu.

Nissan GT-R50 bukanlah Nissan GT-R generasi baharu yang dilaporkan sedang didalam pembangunan bersama-sama Nissan Z generasi baharu, akan tetapi ia merupakan model yang dibina bersempena ulang tahun yang ke-50 Nissan GT-R.

 


Jika dibandingkan dengan model asal, Nissan GT-R50 ini telah menerima beberapa perubahan seperti garis bumbung yang lebih rendah 54 mm, rekaan lampu utama serba baharu depan dan belakang, bumper yang lebih agresif, set rim kustom 21 inci dan sayap belakang yang boleh dilaras.

Namun, disebalik imej serba baharu ini, pihak pereka masih tidak dapat menyembunyikan fakta bahawa bentuk Nissan GT-R ini sebenarnya sudah pun berusia 13 tahun.

 


Apatah lagi rekaan kabin juga tidak membawakan sebarang perubahan rekaan yang ketara melainkan penggunaan bahan mahal seperti gentian karbon, kulit dan Alcantara di sesetengah tempat.

Dari segi kuasa, Nissan telah mengarahkan Nismo untuk menala kembali enjin V6 turbo berkembar 3.8 liter itu supaya mampu menghasilkan 710 kuasa kuda dan 780 Nm daya kilas, iaitu tambahan sebanyak 110 kuasa kuda dan 128 Nm berbanding Nissan GT-R Nismo.

Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan semua roda menerusi transmisi sekuential enam nisbah kelajuan, manakala sistem pemberhentian pula diserahkan kepada brek dari Brembo.

 


Sistem suspensi boleh laras pula menerima sentuhan daripada Bilstein bagi memastikan tayar Pilot Super Sport 255/35 R21 hadapan dan 285/30 R21 kekal melekat di jalanan ketika pemanduan berprestasi tinggi dilakukan.

Nissan hanya menghasilkan sebanyak 50 unit sahaja Nissan GT-R50 dan semenjak tempahan dibuka pada Disember 2018, masih lagi terdapat beberapa slot yang masih belum dipenuhi.

 


Mungkin kerana harganya yang terlalu mahal untuk sebuah Nissan GT-R, iaitu €990,000 atau RM4.7 juta yang difahamkan lima kali lebih mahal berbanding versi Nissan GT-R Nismo yang dijual pada harga $212,435 (RM923,131).

Bagi mereka yang telah membuat tempahan, proses penghantaran pula hanya akan dibuat selewatnya tahun ini dan awal tahun 2021.

Berita Berkenaan

Berita Global
Nissan GT-R50 merupakan unit yang dihasilkan berdasarkan ulang tahun yang ke-50 Nissan GT-R, dan…
Gaya Hidup
Tahun ini, kita semua maklum Nissan GT-R menyambut ulang tahun yang ke-50 dan Grand Seiko (sekali…
Informasi
Sementara kita menunggu bagaimana Nissan mahu membuat acuan baharu untuk generasi selepas R35, mari…