
Sudah menjadi trend pengeluar untuk menawarkan edisi berwarna dan paling popular ialah Black Edition.
Magnite Red Edition diasaskan dari varian Acenta dan warna merah bukan merujuk kepada warna badan tetapi hiasan merah pada luar dan dalam dan beberapa ciri tambahan.
Jaluran dua warna pada pintu Red Edition mengingatkan kepada pelekat bloodstripe Proton R3 satu ketika dahulu.

Selain jaluran khas di atas badan Onyx Black dan Storm White, Magnite Red Edition dilengkapi angkup brek merah, logo dan grafik khas dan garnish krom pada pintu but.
Pada bahagian dalam, tema hiasan merah diteruskan pada papan pemuka, panel pintu dan pelapik ambang pintu.
Magnite Red Edition digerakkan enjin 1.0 liter turbo (HRA0DET) dan boleh dipadankan bersama transmisi CVT atau manual lima kelajuan.

Enjin kecil diterjemahkan kepada penggunaan minyak ekonomikal dan Magnite memerlukan purata 5.27 liter (manual) dan 6.0 liter (CVT) petrol untuk 100 kilometer perjalanan.
Dari segi keselamatan, Magnite Red Edition dilengkapi ABS, EBD, Kawalan Cengkaman dan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC).
Turut dilengkapi Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Penurunan Bukit dan kawalan jejalah.

Untuk maklumat dan hiburan, pengguna diberikan skrin sentuh lapan inci dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Pada peringkat awal hanya 600 unit Magnite Red Edition ditawarkan untuk pelanggan Afrika Selatan dan harga bermula daripada 298,300 rand (RM73,944.99).
Penulis: Muhammad Md Tajudin
Kredit foto: Nissan
