
Perubahan itu turut melambangkan keperluan kereta kedua dan kereta untuk wanita yang ekonomikal dan mudah digunakan.
Berdasarkan latar belakang tersebut Nissan membangunkan March, sebuah kereta asas dengan penekanan kepada ciri asas dan ekonomikal.
Ciri-ciri itu diadun dengan gaya, enjin berprestasi tinggi baharu dan keluasan dalaman seperti kereta lebih besar.
Dari penampilan March boleh dilihat apa yang dinyatakan oleh Nissan.

Pada masa itu trend reka bentuk kereta hatchback dibuat bersegi, berkotak dan garisan badan kemas.
Dengan reka bentuk dan perincian, kadar pekali seretan (Cd) yang dicapai ialah 0.39.
Dari segi dimensi March tidak sampai 4 meter atau lebih tepat lagi 3,645 mm panjang, 1,560 mm lebar dan 1,395 mm tinggi.
March digerakkan enjin MA-10 987 cc OHC 4 silinder yang dibangunkan khas untuknya.
Ciri utama yang dimahukan untuk enjin ini ialah kompak, ringan, prestasi yang baik dan ekonomikal.

Suatu yang menarik ialah enjin ini menggunakan blok silinder aluminium dan yang pertama untuk sebuah enjin massa Nissan.
Matlamat Nissan bagi menghasilkan enjin yang ringan berjaya apabila berat enjin (versi automatik) yang ditimbang hanya 69 kg dan paling ringan di dunia dalam kelas 1,000 cc!
Enjin dengan karburetor itu berkuasa 57 ps pada 6,000 rpm dan daya kilas 78.4 Nm 3,600 rpm.
Bagaimana pula dengan penggunaan bahan api? Sasaran bagi mendapatkan penjimatan bahan api yang maksimum dibuat melalui pendekatan bersepadu.

Aspek tersebut ialah kecekapan pembakaran dengan berat keseluruhan yang rendah dan seretan aerodinamik minimum.
Berat keseluruhan rendah dicapai melalui enjin yang ringan dan badan kereta yang menggunakan kira-kira 82 kg besi kekuatan tinggi bagi meminimumkan berat di bahagian bebanan.
Tahukah anda berapa berat tanpa penumpang dan barangan (curb weight) March E? Hanya 610 kg!
Kadar penggunaan bahan api bagi March L (manual lima kelajuan) ialah 21.0 km/l (mod MOT 10 kitaran bandar).
Selain transmisi manual, March turut ditawarkan dalam versi automatik tiga kelajuan.

Dari segi praktikaliti, pulasan stereng memerlukan 4.4 kg usaha dalam keadaan statik manakala varian March G pula lebih ringan dengan tawaran stereng berkuasa.
Kadar pusingan stereng minimum pula 4.4 meter dan paling kecil di dalam kelasnya.
Pada bahagian dalam, kapasiti ruang bagasi ialah 168 liter dengan sandaran kerusi dilipat. March S dan G pula mempunyai sandaran kerusi yang boleh dilipat berasingan.
Keselesaan lain ialah tahap bunyi 70dB pada kelajuan 100 km/j dan 62 dB pada 40 km/j.

Ada empat varian March yang ditawarkan di Jepun iaitu E, L, S dan G dengan sasaran awal jualan sebanyak 10,000 unit sebulan.
Sejak diperkenal pada tahun 1982, March atau dikenali sebagai Micra sudah pun memasuki generasi keempat dan mula dikeluarkan pada Disember 2016.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
Kredit foto: Nissan
