
Nombor 23 telah digunakan pada kereta lumba NISMO selama hampir 40 tahun. Projek ini juga ditampilkan semula di ambang pelancaran Micra EV baharu.
Micra 350SR dibangunkan daripada Micra K12 buatan Sunderland tahun 2002.
Model ini dicipta oleh pasukan perlumbaan di sebalik kejayaan Nissan dalam British Touring Car Championship (BTCC) pada era 1990-an.
Nissan GB pada asalnya menugaskan pembangunan Micra 350SR lebih dua dekad lalu sebagai satu cara untuk menunjukkan kebolehsuaian platform Micra.
Ia juga dibangunkan bagi meraikan salasilah perlumbaan model tersebut yang kurang diketahui dalam sejarah sukan permotoran Jepun.

Model ini dipasang blok 3.5 liter daripada Murano, dipadankan dengan kepala (header) 350Z, aci engkol angkatan tinggi NISMO, sistem induksi khas dan ECU yang diubah suai.
Tenaga asal sekitar 265 kuasa kuda (hp) kini meningkat kepada anggaran 300 hp.
Dengan berat hanya 1,200 kilogram (kg), prestasi model ini boleh disifatkan sebagai lebih daripada mencukupi.
Dalam tempoh dua puluh tahun lalu, Micra 350SR sering dipamerkan di acara-acara rasmi Nissan dan turut dipinjamkan kepada wartawan automotif.

Namun, dengan ketibaan tahun 2025 dan generasi keenam Micra yang semakin hampir, model ini wajar diberi perhatian semula.
Untuk projek restomod ini, Nissan GB mendapatkan kerjasama pasukan pereka Nissan Design Europe (NDE) di Paddington, London.
NDE merupakan bahagian sama yang mereka bentuk Micra EV baharu dan kereta konsep luar biasa Concept 20-23.
Kedua-dua model baharu tersebut berkongsi DNA reka bentuk dengan Micra K12, terutamanya pada bentuk lampu bulat dan garis badan.

Pasukan pereka muda di NDE, yang sudah biasa dengan 350SR, mengambil pendekatan ringan dalam naik taraf ini bagi mengekalkan warisan model tersebut dalam sejarah Nissan.
Reka bentuk luaran baharu mengekalkan gaya grafik asal, sambil memberi sentuhan moden melalui warna asas satin liquid silver dan riasan biru.
Grafik baharu berasaskan ikonografi ‘=III 23’ merupakan corak yang juga digunakan pada Micra dan LEAF baharu, dan diinspirasikan daripada lampu belakang ikonik Nissan 300ZX.
Bahagian jeriji dan bawah kini menerima kemasan hitam berkilat, dipadankan dengan rim asal RAYS 18 inci dari 350Z yang telah dibaik pulih.

Lampu utama LED bersama lampu siang separa bulat melengkapkan transformasi wajah kereta dengan ciri pencahayaan lebih terang dan selamat serta merujuk kepada rekaan Micra EV.
Bahagian dalaman pula dipertingkatkan dengan kerusi baharu, tali keledar perlumbaan, serta skrin sentuh sembilan inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Pemandu boleh menstrim muzik menerusi pembesar suara baharu, namun lebih sesuai ketika bersantai atau berhenti kerana deruman blok V6 masih menjadi tarikan utama.
Micra 350SR yang diperbaharui ini muncul secara rasmi pada 15 Mei sempena SMMT Test Day di Litar Ujian Millbrook, lokasi sama pembangunan asal model tersebut lebih dua dekad lalu.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
