Berbanding rakan seangkatan seperti Isuzu D-Max, Mazda BT-50 dan Mitsubishi Triton yang telah diperbaharu, Navara dan Toyota Hilux nampaknya masih kekal di pasaran.
Masing-masing dikeluarkan sejak 2014 dan 2015. Walaupun begitu, Nissan Frontier generasi ketiga diperkenal pada 2021 untuk Amerika Syarikat dan tidak sama dengan Navara.
Pikap dengan kitaran hayat produk yang lama adalah perkara biasa di dalam industri.
Navara Black Edition baharu mula ditawarkan di Australia pada September dan dihadkan kepada 400 buah sahaja.
Varian ini diasaskan dari Navara ST Dual Cab 4x4 Automatic yang lengkap dengan pelbagai perkakasan.
Identiti Black Edition ditayang pada bingkai jeriji warna hitam kusam, bawah bampar, perumah cermin sisi dan pembuka pintu hitam.
Rim 17 inci juga dibuat dalam warna hitam dan dipadan bersama tayar Yokohama Geolander All Terrain.
Berbeza dengan Black Edition tempatan, model Australia hadir tanpa pendakap lingkungan roda.
Tiada masalah dan nampak lebih bersahaja kecuali pelekat sisi pintu hitam dengan logo Black Edition.
Pada ruang kargo belakang, Nissan Australia menggantikan sports bar krom pada VT dengan warna hitam.
Black Edition tempatan tidak mempunyai sport bar.
Nissan menawarkan empat warna badan iaitu Solid White, Black Star dan dua pilihan premium,Twilight Grey dan Brilliant Silver.
Ruang kargo belakang dilindungi oleh penutup Aksesori Tulen Nissan.
Jika mahukan sesuatu yang berbeza, pelanggan boleh memesan penutup elektrik dan pengunci belakang dari HSP.
Penutup itu boleh dibuka dan ditutup secara automatik melalui satu sentuhan butang pada aplikasi telefon pintar HSP atau fob kunci Navara.
Satu perbezaan ketara di antara Navara Australia dan pasaran tempatan ialah jenis enjin.
Navara di sana menggunakan enjin 2.3 liter diesel turbo berkembar yang menghasilkan 190 ps dan daya kilas 450Nm.
Navara tempatan pula dipasang enjin 2.5 liter diesel turbo dengan kuasa dan daya kilas yang sama.
Navara ST Dual Cab Auto 4x4 Black Edition ditawarkan pada harga 60,455 Dolar Australia (RM176,749).
Black Edition dengan aksesori HSP pula berharga 60,955 Dolar Australia (RM178,222).
Lebih menarik, Nissan menawarkan harga istimewa dan masing-masing berharga 59,990 Dolar Australia (RM175,407) dan 60,490 Dolar Australia (RM176,869).
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Gambar: Nissan