Nissan Navara Serba Baharu Kini Berdasarkan Platform Mitsubishi Triton

oleh Qalif Latif|
Selepas lebih sedekad di pasaran, Nissan akhirnya bersedia menamatkan hayat generasi D23 Navara dengan memperkenalkan model serba baharu yang akan membuat penampilan sulung pada 19 November 2025 di Australia dan New Zealand. Kali ini Navara tampil dengan pendekatan berbeza, dibangunkan berasaskan platform Mitsubishi Triton, menandakan langkah penting dalam kerjasama teknikal antara kedua-dua pengeluar Jepun itu di bawah Renault-Nissan-Mitsubishi Alliance.

Reka Bentuk: Masih Ada DNA Nissan

Walaupun menggunakan casis Triton generasi baharu yang diperkenalkan pada 2023, Nissan menegaskan Navara versi ini akan mengekalkan identiti reka bentuk tersendiri. Beberapa elemen Nissan-specific seperti lampu LED split, gril depan baharu, bonet berotot serta bampar depan yang lebih agresif bakal membezakan Navara daripada saudara kembarnya, Triton. Dalam video teaser rasmi, turut kelihatan sports bar di belakang yang memberi petunjuk bahawa unit tersebut mungkin varian tinggi, berkemungkinan Pro-4X Warrior.

Navara D24

 

Triton
Nissan Navara D24 yang akan dilancarkan mempunyai persamaan hampir sama dengan Mitsubishi Triton

Varian dan Bentuk Badan

Seperti sebelumnya, Navara baharu akan ditawarkan dalam pelbagai konfigurasi termasuk single cab, dual cab dan chassis cab bagi memenuhi keperluan pengguna komersial mahupun rekreasi. Model ini juga dijangka mendapat peningkatan dari segi keselesaan kabin, sistem infotainmen moden serta tahap keselamatan aktif yang lebih tinggi.

 

Navara D24
Gambar dari keratan video Youtube Nissan yang bertajuk: 40 Years of Grit. Now, a New Navara Chapter Begins. Video in menunjukkan bayang-bayang Navara D24

 

Platform dan Enjin

Model baharu ini dibina atas rangka ladder-frame Triton, namun menurut Nissan, jurutera mereka melakukan penalaan semula dari segi handling, NVH (noise, vibration, harshness) dan suspensi bagi menghasilkan karekter pemanduan yang lebih “Nissan” dan bukan sekadar klon Mitsubishi.

Dari segi kuasa, Navara dijangka menggunakan enjin turbodiesel 2.4-liter empat silinder yang menghasilkan sekitar 201 hp (150 kW / 204 PS) sama seperti Triton. Menariknya, Nissan turut mengesahkan bahawa varian plug-in hybrid (PHEV) sedang dalam pembangunan, menjadikannya antara trak pikap pertama yang menggunakan teknologi elektrifikasi dalam segmen ini.

Navara D24

Pro-4X Warrior dan Mungkin NISMO

Seperti generasi sebelumnya, Navara Pro-4X Warrior akan terus dibangunkan oleh Premcar, rakan kejuruteraan Nissan di Australia yang terkenal dengan talaan off-road agresif dan komponen heavy-duty. Selain itu, terdapat kemungkinan Nissan akan memperkenalkan versi berjenama NISMO di masa hadapan yang memberi fokus pada gaya sporty dan pengendalian prestasi tinggi.

Pelancaran dan Persaingan Pasaran

Pelancaran rasmi dijadualkan untuk pasaran Australia dan New Zealand pada separuh pertama tahun 2026, menandakan ulang tahun ke-40 penjualan Navara di rantau Oceania sejak debut asalnya pada Disember 1986. Sehingga kini, lebih 420,000 unit telah dijual di rantau berkenaan.

Namun, tidak semua Navara adalah sama. Untuk pasaran Amerika Selatan, Nissan sedang membangunkan model berasingan yang dikatakan berasaskan kemas kini generasi D24 sedia ada, bukan model baharu yang dikongsi dengan Triton.

Di pasaran serantau, Navara baharu ini bakal bersaing dengan Toyota Hilux yang turut akan diperbaharui tahun depan, Ford Ranger, Volkswagen Amarok, Isuzu D-Max, Mazda BT-50, Kia Tasman serta beberapa pesaing dari China seperti JAC T9, GWM Cannon Ute, MGU9 dan BYD Shark.

Sumber: Carscoops