Dalam klip video berdurasi 45 saat itu, Nissan memperlihatkan beberapa perubahan pada NISMO Z, seperti bampar depan yang lebih agresif, spoiler belakang yang lebih panjang, tempat duduk bucket NISMO yang lengkap dengan abah-abah lima poin, diikuti dengan aksen merah pada sesetengah tempat.
Dalam satu perkembangan terbaharu, Nissan NISMO Z dikatakan tidak akan ditawarkan dengan transmisi manual berdasarkan dokumen yang tersebar dalam forum New Nissan Z.
Dokumen tersebut memperincikan opsyen transmisi yang ditawarkan untuk setiap trim/varian.

Di pasaran Amerika Syarikat, dua varian pertama (Sport dan Performance) masing-masing didatangkan dengan kod nombor "41014" dan "41114" yang merujuk kepada transmisi automatik 9 kelajuan, serta kod "41064" dan "41164" yang merujuk kepada transmisi manual enam kelajuan.
Sementara model ketiga pula hanya mempunyai kod "41214", di mana ia hanya disenaraikan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan sahaja.
Tambahan pula, dokumen itu turut mengesahkan warna Stealth Gray dan opsyen jalur perlumbaan yang akan ditawarkan secara eksklusif untuk model NISMO.

Ini adalah bertepatan dengan video teaser yang didedahkan sebelum ini, di mana pemandu Chris Forsberg dilihat memegang roda stereng yang mempunyai paddle shifter melakukan aksi drift jentera spesifikasi NISMO tersebut.
Nissan tidak mendedahkan secara rasmi tarikh pelancaran sebenar model NISMO Z.
Sumber: Road & Track