
Patrol generasi keenam sudah berada di pasaran sejak 2010 lagi dan sehingga kini telah beberapa naik taraf dengan kali terakhir pada 2020.
Sebagai produk global, Patrol turut dijenamakan semula sebagai Nissan Patrol dan Infiniti QX80.
Pada bahagian depan, Patrol 2023 kekal gah dengan gril krom V-Motion dan riasan krom diteruskan pada bahagian bawah bampar.
Wajah depan itu berjaya menonjolkan ciri moden dan mewah Patrol melebihi usia sebenar. Juga kemas, rim corak jejari saiz 20 inci dengan kemasan 'machine cut'.

Pada bahagian dalam, pemandu dan penumpang dihidangkan skrin resolusi tinggi 12.3 inci dengan sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto.
Lebih istimewa, Nissan memasang dua skrin 10.1 inci untuk penumpang belakang yang mempunyai fungsi salinan (mirror screen).
Nissan telah mempertingkatkan Patrol dengan baik apabila melengkapinya dengan pelbagai ciri keselamatan canggih.
Sebagai contoh Pembrekan Kecemasan Pintar dengan Pengesanan Pejalan Kaki, Intervensi Lorong Pintar dan Intervensi Titik Buta Pintar.
Turut dilengkapi Peringatan Lintasan Trafik Belakang dengan Intervensi Pintar dan Kawalan Jelajah Pintar.

Menggerakkan Patrol ialah dua pilihan enjin iaitu 4.0 liter V6 yang menghasilkan 275 kuasa kuda (hp) dan tork 394 Nm.
Sebuah lagi pilihan ialah enjin lebih besar dengan sesaran 5.6 liter V8 yang menjana 400 hp dan tork 560Nm dan untuk penjimatan bahan api dilengkapi mod Eco.
Kedua-dua enjin dipadan bersama transmisi automatik tujuh kelajuan dengan Kawalan Penukaran Adaptif untuk tukaran gear yang lancar.
Pada masa yang sama, pemandu juga boleh menganjak gear secara manual untuk pemanduan lebih mengasyikkan.

Sebagai sebuah SUV premium dan lasak, patrol dilengkapi Variable 4x4 Mode dengan empat pilihan iaitu Sand, On-Road, Rock dan Snow.
Turut dilengkapi, penguncian pembeza belakang dan kawalan penurunan bukit untuk melalui permukaan mencabar dan disokong Sistem Kawalan Pergerakan Badan Hidraulik.
Pergerakan stereng di jalan biasa dan off-road dibantu oleh sistem stereng berkuasa berdasarkan kelajuan enjin (engine speed sensitive).
Membantu dalam memperlahankan dan menghentikan Patrol ialah sistem ABS dengan EBD dan Bantuan Brek.
Juga standard, sistem empat roda gelinciran terhad (ABLS) dan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) dengan suis nyahaktif terbina dalam untuk ekspedisi off-road tanpa gangguan.
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Kredit: Nissan