
Bahagian depan Patrol NISMO 2022 garang dengan gril saiz besar corak sarang lebah.
Bersama spoiler bawah pada bampar depan yang sporti, tepi SUV ini dipasang pemijak kaki dan lebih praktikal berbanding skirt sisi biasa.
Pereka NISMO bijak dalam mengimbangi praktikaliti dan sporti dengan bentuk dan garis lurus ala skirt sisi berwarna merah dan meneruskan gayaan depan.
Badan besar, roda mestilah sepadan supaya tidak nampak kosong. Berapa besar roda yang digunakan?
22 inci dengan rekaan bercabang dan menyerlahkan bahagian tepi Patrol yang tidak banyak drama.

Bahagian belakang juga sama hebat dengan gayaan simetri dan corong ekzos di kanan dan kiri. Imej dan kit aerodinamik dibawa oleh peresap (diffuser).
Garisan merah meneruskan gayaan depan dan tepi dan di tengah ada lampu kabus LED ala kereta Formula 1. Nyalaan lampu itu sama terang seperti lampu brek ketika cuaca buruk.
Selain kit aerodinamik, memainkan peranan dalam pengendalian SUV ini ialah penyerap hentak dari Bilstein.
Jika bahagian luar nampak sama, kabin Patrol NISMO 2022 pula berbeza dengan versi tahun lalu.
Nissan merekabentuk bahagian tengah papan pemuka dengan corong penyaman udara dan suis kawalan baharu yang seimbang di antara butang dan tombol.

Dua skrin dikurangkan kepada satu dan berukuran 12.3 inci dengan sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto.
Konsol gear turut direka semula yang nampak lebih ringkas dan kemas.
Pakej keselamatan dinaungi Nissan Intelligent Mobility (NIM) yang merangkumi Intelligent Emergency Braking with Pedestrian Detection dan Intelligent Forward Collision Warning.
Turut dilengkapi Smart Rear View Mirror dan High Beam Assist.
Di bawah bonet ialah enjin yang sama, 5.6 liter berkuasa 428hp dan tork 560Nm dengan padanan transmisi automatik tujuh kelajuan.
Enjin Patrol NISMO 28hp lebih berkuasa berbanding Patrol standard menjadikannya SUV sporti serba lengkap dari segi prestasi, aerodinamik, gaya dan nama!
Kredit foto: Nissan. Penulis: Muhammad Md Tajudin
