Sistem e-POWER Generasi Baharu
Sistem e-POWER baharu telah direka semula secara menyeluruh untuk:
- Meningkatkan kecekapan bahan api
- Mengurangkan pelepasan karbon
- Menawarkan pemanduan lebih senyap dan lancar
Sistem ini menggabungkan manfaat pemanduan seperti EV dengan fleksibiliti enjin pembakaran biasa.
Prinsip utamanya kekal sama iaitu enjin petrol digunakan hanya untuk menjana elektrik, yang kemudiannya:
- Disalurkan terus kepada motor elektrik untuk menggerakkan roda
- Digunakan untuk mengecas bateri apabila diperlukan
Berbeza dengan hibrid biasa, sistem ini tidak menggunakan kotak gear kompleks atau gandingan terus enjin ke roda. Ini membolehkan:
- Tindak balas segera
- Pemanduan lancar seperti EV
- Pembrekan regeneratif yang menukar tenaga kinetik kepada tenaga elektrik dan disimpan ke dalam bateri
Peningkatan Prestasi dan Kecekapan
Qashqai e-POWER baharu menawarkan prestasi terbaik dalam kelasnya dari segi:
- Penggunaan bahan api: 4.5L/100km (kitaran WLTP), jarak sehingga 1,200km
- Emisi CO₂: 102g/km (penurunan 12% berbanding versi semasa)
- Bunyi kabin: dikurangkan sehingga 5.6dB
- Pecutan: tambahan 13.6 ps (10kW) kuasa dalam mod Sport
Rangkaian Kuasa 5-dalam-1 Serba Baharu
Sistem ini disokong oleh unit rangkaian kuasa modular 5-dalam-1 yang menggabungkan komponen berikut dalam satu pakej kompak dan ringan:
- Motor elektrik
- Penjana (generator)
- Penyongsang (inverter)
- Pengurang (reducer)
- Penaik kuasa (increaser)
Penambahbaikan lain merangkumi:
- Tentukuran enjin baharu
- Penebat bunyi lebih baik
- Kuasa maksimum meningkat kepada 205 ps /151kW (+15 ps/11kW).
- Kapasiti bateri kekal pada 2.1kWj
Enjin 1.5L Turbo Baharu
Walaupun masih menggunakan konfigurasi 3 silinder 1.5 liter turbo, enjin dalam Qashqai e-POWER baharu telah direka sepenuhnya semula.
Ia kini khusus untuk sistem e-POWER dan menampilkan:
- Teknologi pembakaran STARC (Strong, Tumble and Rapid Combustion) yang meningkatkan kecekapan terma kepada 42%
- Turbo lebih besar untuk prestasi dan kecekapan lebih baik
- Pengurangan kelajuan enjin sebanyak 200 rpm semasa pemanduan lebuh raya, mengurangkan bunyi
- Penggunaan minyak pelincir 0W16 bagi mengurangkan geseran dalaman
Teknologi nisbah mampatan berubah-ubah yang digunakan pada versi sebelumnya kini tidak lagi diperlukan susulan perubahan lain pada enjin.
Kos Penyelenggaraan Lebih Rendah
Satu lagi kelebihan ialah selang servis yang kini dipanjangkan kepada 20,000km, berbanding 15,000km sebelum ini.
Ini memberikan jumlah kos pemilikan (TCO) yang lebih rendah kepada pemilik.
Gabungan Teknologi Pintar
Qashqai baharu turut menerima kemas kini dalam aspek teknologi, termasuk:
- Google built-in infotainment – akses kepada Google Maps, Google Assistant dan Play Store
- Ciri baharu seperti arahan suara, ramalan cuaca di destinasi dan fungsi perkongsian perjalanan Nissan Trip Stories
- ProPILOT dipertingkat – termasuk pemantauan lorong berbilang dan kesedaran persekitaran lebih tinggi
Pelancaran pasaran Eropah dijadual bermula September 2025, dengan pasaran lain menyusul selepas itu.
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Kredit gambar: Nissan