Nissan Serena 2023 - MPV generasi keenam, pilihan enjin 2.0L petrol atau 1.4L e-Power

oleh Mohamad Hanif|
Nissan hari ini secara rasmi melancarkan MPV generasi keenam Nissan Serena di pasaran Jepun.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Selain mengekalkan nadi hibrid ringan 2.0 liter MR20DD S-Hybrid (150 hp/200 Nm), Nissan Serena generasi baharu kini ditawarkan dengan pilihan trenkuasa e-Power generasi kedua.
 

Serena


Sistem e-Power itu menampilkan enjin 1.4 liter yang dibangunkan serba baharu yang menghasilkan 98 hp dan 123 Nm, menawarkan lebih kuasa dan pecutan yang lebih lancar, serta lebih senyap.

Dipadankan dengan motor elektrik, model e-Power mampu menjana kuasa keseluruhan 163 hp dan 315 Nm.

Bergantung kepada spesifikasi, Nissan Serena memiliki ukuran dimensi sehingga 4,765 mm panjang, 1,715 mm lebar, 1,895 mm tinggi dan jarak antara roda sepanjang 3,145 mm.
 

Serena


Rupa paras Nissan Serena 2023 masih lagi mengekalkan bentuk asas MPV petak, namun dengan rupa hadapan yang lebih canggih.

Unit lampu hadapan kini diintegrasikan dalam elemen jeriji V-motion yang lebih moden, rekaan jeriji yang lebih kemas, diikuti dengan dimensi cermin hadapan yang paling lebar menawarkan medan penglihatan yang tidak terganggu.

Pintu gelangsar sisi pula didatangkan dengan ciri bukaan bebas tangan, sementara kesemua unit lampu menggunakan jenis LED.
 

Serena


Nissan Serena 2023 juga mengekalkan fungsi bukaan pintu belakang tailgate dua cara yang sangat praktikal untuk kegunaan harian.

Berbanding generasi terdahulu, pemandu Serena 2023 bakal mendapat ruang kaki tambahan 120 mm, sementara kerusi tengah baris kedua boleh dilipat atau dibuka bagi membolehkan sehingga lapan penumpang dibawa pada satu-satu masa.

Antara ciri lain termasuklah ruang meletakkan peranti pintar pada setiap tempat duduk, slot pengecasan USB, sokongan Wi-Fi, upholsteri kalis air, serta sistem pendingin hawa yang menampilkan ciri pra-penyejukan kabin.
 

Interior


Model e-Power turut didatangkan dengan outlet kuasa 100V AC (1,500W) yang boleh digunakan untuk barangan elektrik semasa beraktiviti di luar, atau digunakan dalam waktu kecemasan seperti keputusan bekalan elektrik.

Papan pemuka Serena juga kelihatan mendapat skrin kluster digital, skrin infotainmen tengah bersaiz lebih besar, skrin paparan head-up, kawalan iklim dengan paparan digital pada bahagian bawah, serta teknologi shift-by-wire yang menampilkan butang pemilihan fungsi pemanduan PRND menggantikan tombol gear fizikal.

Selain itu, ciri penting yang terdapat pada Serena 2023 adalah ProPilot 2.0 yang membolehkan pemanduan bebas tangan pada lorong tunggal sehingga 40 km/j, diikuti dengan ciri ProPilot Park yang pertama untuk sebuah model Nissan.

 


Di Jepun, harga jualan Nissan Serena 2023 bermula dari 2,768,700 yen (RM89,768) untuk versi petrol lapan tempat duduk, dan mampu mencecah sehingga 4,798,100 yen (RM155,565) untuk versi e-Power Luxion dengan tujuh tempat duduk.