Pembinaan model ini ditugaskan oleh Universal Studios, di mana ia dimodifikasikan oleh Daryl Alison dari Kaizo Industries dan menariknya R34 ini tidak langsung menampilkan sebarang liveri atau decal atas permintaan daripada pelakon Brian O'Connor, iaitu Paul Walker sendiri.

Dilayangkan dengan warna Bayside Blue Skyline, R34 ini memiliki perbatuan sekitar 6,000 km sahaja dan merupakan satu-satunya model asli GT-R yang digunakan untuk tujuan penggambaran filem.
'Pop the hood', Skyline GT-R R34 ini dilengkapi dengan enjin enam silinder sebaris RB26 dengan unit pengecas turbo berkembar, dipadankan dengan transmisi manual Getrag enam nisbah kelajuan serta intercooler Turbonetics.

Selain itu, bahagian luaran Skyline ini dikemaskan dengan bampar Nismo version II, skirt sisi, angkup brek enam omboh Rotota di depan dan empat omboh di belakang, rim Volk Racing RE30 bersaiz 19 inci dan direndahkan dengan spring khas daripada Nismo.
Untuk ruang kabin, pemilik baharu perlulah memiliki saiz badan yang hampir sama dengan mendiang Paul Walker, memandangkan kereta ini dibina khas untuk memuatkan pelakon tersebut sepanjang tempoh penggambaran.

Tarikh lelongan sebenar Nissan Skyline GT-R R34 ini masih belum diumumkan, dan ia dijangka akan berlangsung pada suku keempat tahun ini.