Namun, tahukah anda rekaan Nissan Z yang terbaharu ini turut melibatkan elemen matematik Nisbah Emas dan juga pedang samurai Jepun, Katana?
Dari segi rupa luaran, sudah jelas dan nyata reka bentuk Nissan Z banyak diinspirasikan daripada model asal Datsun 240Z, diikuti dengan hud berbonjol (Z bulge), lampu utama yang diinspirasikan daripada refleksi unik model asal, serta spoiler belakang rekaan ekor itik - semuanya merujuk kepada model generasi pertama Z.
Rekaan belakang pula mengambil rujukan daripada bahagian belakang 300ZX, dan tingkap suku belakang daripada model 370Z.

Nissan juga turut menggunakan konsep matematik "Nisbah Emas" bagi mereka bentuk elemen bahagian depan dan belakang, tinggi tingkap serta panel pintu bagi memastikan ia menampilkan "kecantikan yang asli dan estetik yang menyenangkan kepada semua".
Perasan tak jalur perak memanjang yang dimuatkan pada bahagian bumbung Nissan Z ini?

Ia sebenarnya merupakan satu rujukan kepada bentuk dan warna Katana (pedang samurai Jepun), dan elemen yang sama turut digunakan pada rekaan rim bersaiz 19 inci itu.
Tidak cukup dengan itu, tersembunyi daripada pandangan umum adalah logo Z pada kotak gear automatik sembilan nisbah kelajuan, dan frasa "Since 1969" pada tingkap belakang yang merujuk kepada tahun pertama pelancaran model Z ke dunia.
Rekaan kabin pula banyak merujuk kepada model-model terdahulu, seperti contoh kehadiran gugusan meter pada tengah papan pemuka, sementara corong pendingin hawa pula diposisikan dengan berhati-hati supaya mampu mengurangkan kesan gangguan visual terhadap pemandu, membolehkan mereka lebih fokus di atas jalan raya.
Rekaan takometer (pada skrin kluster instrumen) itu turut menampilkan lampu indikasi penukaran gear yang diinspirasikan daripada sukan permotoran, sementara garis merah pula diletakkan pada posisi pukul 12 menjadikannya lebih mudah untuk dibaca.
Menariknya, kedua-dua cadangan itu tadi disuarakan oleh pelumba professional Tsugio Matsuda yang akan memandu jentera lumba Nissan Z GT500 nanti.