Nomad Kitchen - idea dapur kompak untuk aktiviti hujung minggu

oleh Mohamad Hanif|
Kami yakin, ada di antara kita yang sudah mula rindukan aktiviti hujung minggu seperti berkhemah, atau menikmati pemandangan luar bandar di dalam campervan/camper truck dan sebagainya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Untuk mereka yang memiliki sebuah campervan atau campertruck yang sempurna, sudah tentu tiada sebarang masalah untuk memasak, namun bagaimana pula bagi mereka yang baru mula-mula ingin menjinakkan diri?

Sudah tentu tidak banyak pilihan yang boleh dipertimbangkan selain membawa sendiri dapur kecil untuk memasak, atau pergi sahaja ke mana-mana restoran tepi jalan yang berdekatan.

 


Salah satu penyelesaian yang boleh dilihat adalah Nomad Kitchen yang diusahakan oleh syarikat pemula yang baharu sahaja ditubuhkan, dan Nomad Kitchen direka untuk menyediakan dapur yang kompak dan lengkap dengan segala peralatan yang diperlukan.

Selain daripada dapur memasak yang lengkap dengan ruang ekstra untuk menyimpan tangki bahan api propana, Nomad Kitchen juga turut menawarkan ruang memotong, ruang pengeringan, dan sinki untuk membasuh.

Nomad Kitchen menggunakan sistem laci tahan lasak yang mampu menampung beban sehingga 90 kilogram.

 


Dengan dimensi 660 mm panjang, 362 mm tinggi dan 559 mm lebar, ia mampu untuk dimuatkan pada mana-mana ruang kargo kenderaan dengan mudah tanpa perlu ubah suai.

Difahamkan, syarikat Nomad Kitchen ini sedang berusaha untuk memastikan produksi dapur kecil ini satu realiti dengan harga jualan bermula dari $799 (RM3,481) manakala harga jualan sebenar mencecah sehingga $899 (RM3,917) bermula Ogos nanti.

Bagi mereka yang kreatif, mungkin juga anda boleh membikin sendiri dapur kompak ini dan mulakan aktiviti pengembaraan anda sendiri selepas selesai tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dialihkan.