Nyaris gilis penunggang motosikal, pemandu treler didenda RM6,000

oleh SALINA JALIL|
Seorang pemandu treler wanita didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memandu tanpa cermat sehingga menyebabkan kecederaan ke atas seorang penunggang motosikal, 24 November lalu.


Majistret, Amirul Asyraf Abd. Rashid turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan sekiranya orang kena saman (OKS), Noor Haffizza Che Ani gagal membayar denda tersebut.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Amirul turut memerintahkan lesen memandu Noor Haffizza, 35, disemak sebelum diserahkan semula kepadanya.

 

Berdasarkan pertuduhan, Noor Haffizza yang masih bujang itu didakwa memandu lori treler di atas jalan raya tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya sehingga menyebabkan berlakunya kecederaan kepada Mohamad Iftiqar Mohamad Amran, 29, pada pukul 8.30 pagi, 24 November lalu.

 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kawasan stesen minyak di Bandar Sultan Suleiman, di sini dan dituduh mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara sehingga 12 bulan.

 

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika OKS sedang membuat pusingan ‘U’ di dalam kawasan stesen minyak.

 

Dia telah melanggar seorang lelaki yang sedang mengepam angin tayar motosikal yang berada di hadapannya.

 

Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit tertolak ke kiri dan terjatuh sebelum mengalami kecederaan.

 

Terdahulu dalam rayuannya, Noor Haffizza memohon mahkamah memberikan denda yang lebih rendah kerana menanggung ibu yang sakit terlantar.

 

“Saya memohon lesen memandu tidak ditarik kerana ia merupakan sumber rezeki bagi menanggung ibu yang sakit terlantar,” katanya.

 

Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ Ayuni Jamri bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal bagi memberikan pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

 

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pemandu treler terbabit nyaris menggilis pemuda yang sedang mengepam angin tayar motosikalnya di sebuah stesen minyak tular, enam hari lalu.

 

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao dilaporkan berkata, pemandu wanita terbabit telah tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara pada petang hari kejadian.

 

 

-UTUSAN ONLINE

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Katanya, sebanyak tujuh anggota serta dua jentera keluaran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata dua mangsa yang…
Berita Domestik
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, mangsa yang berusia 49 tahun cedera di bahagian…