OCBC Cycle Kuala Lumpur: 18 jalan utama ditutup Ahad ini!

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari OCBC
Beberapa jalan utama di sekitar ibu negara akan ditutup bagi memberi laluan kepada acara kayuhan berbasikal OCBC Cycle Kuala Lumpur 2023 pada Ahad ini.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, penutupan 18 laluan utama itu dibuat secara berperingkat bermula jam 6.45 pagi sehingga tamat acara itu kira-kira 10 pagi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Menurutnya, laluan terlibat adalah Jalan Raja, Jalan Raja Laut, Jalan Perak, Jalan Dang Wangi, Jalan Sultan Ismail, Jalan Conlay, Jalan Stonor, Jalan Kia Peng, Jalan P Ramlee dan Jalan Ampang.

 

“Ia turut melibatkan Jalan Putra, Jalan Tun Ismail, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan berakhir di Dataran Merdeka,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas pelancaran pelan laluan kayuhan berbasikal OCBC Cycle Kuala Lumpur 2023 di Kuala Lumpur pada Khamis.

 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan OCBC Cycle KL 2023, Datuk Naim Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Bank Berhad, Syed Abdull Aziz Syed Kechik.

 

Mengulas lanjut, Sarifudin berkata, seramai 144 anggota dan pegawai akan membantu kelancaran dan perjalanan acara kayuhan kali ini.

 

“Kita menasihatkan orang ramai menaiki pengangkutan awam dan mematuhi arahan serta mengikut tanda arah pihak trafik yang bertugas,” jelasnya.

gambar hiasan

 

Dalam masa yang sama, Sarifudin berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat penutupan jalan melalui laman Facebook JSPT Kuala Lumpur, Polis Kuala Lumpur dan OCBC Cycle.

 

Untuk rekod, OCBC Cycle Kuala Lumpur kembali dilangsungkan tahun ini selepas tiga tahun tidak dianjurkan susulan pandemik Covid-19.

 

Kira-kira 2,500 peserta akan menyertai acara kali ini dengan membabitkan dua kategori iaitu 21 kilometer (km) dan 42km secara dua pusingan.

 

Kategori baharu koporat turut diperkenalkan iaitu The KL's Mayor Ride sejauh 42km untuk pasukan yang terdiri daripada 10 peserta setiap kumpulan.

 

Selain pelumba tempatan, acara kayuhan kali ini turut melibatkan peserta luar negara, antaranya dari Filipina, India, Singapura, Great Britain, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Rusia, Indonesia dan Jerman.

 

Bernama