Menterinya Anthony Loke berkata kementeriannya bekerjasama rapat dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung kes seorang lelaki OKU yang maut selepas dipercayai terjatuh ke landasan sebelum dilanggar tren di Stesen LRT STAR Titiwangsa pagi Sabtu.
“Tragedi di Stesen Titiwangsa pagi ini yang meragut nyawa seorang penumpang amat menyedihkan.
“Bagi pihak Kementerian Pengangkutan, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mereka yang terkesan oleh kejadian ini,” katanya dalam catatan di Facebook, pada Sabtu.
Loke berkata Prasarana akan mengambil beberapa langkah penting bagi mengelakkan kejadian sebegini daripada berulang, termasuk pemasangan kamera litar tertutup pintar (Smart CCTV) di stesen yang berupaya mengesan perilaku berisiko.
Bagi jangka masa panjang, beliau berkata Prasarana sedang merancang untuk memasang Platform Screen Doors (PSD) di semua laluan Transit Aliran Ringan (LRT) sebagai usaha memperkukuh keselamatan penumpang.