Baru-baru ini tular video yang dikongsikan pengguna sosial media menunjukkan seorang pengguna OKU berkerusi roda mengalami kesukaran untuk keluar dari stesen kerana ketiadaan petugas stesen untuk memberi bantuan.
Kejadian tersebut dilapor berlaku pada jam 11.30 malam, namun pengguna OKU tersebut telah dibantu oleh polis bantuan yang sedang menjalankan rondaan di sekitar stesen pada jam 11.47 malam.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Amir Hamdan berkata, “Kami ingin memberi jaminan kepada semua pengguna bahawa Rapid Rail telah mengambil tindakan segera bagi memastikan kejadian ini tidak akan berulang kembali."
"Polis bantuan yang bertugas akan ditempatkan di pintu tambang automatik bagi memantau dan membantu penumpang keluar dari stesen dengan lancar dan selamat."
Rapid Rail juga akan bekerjasama dengan wakil - wakil persatuan OKU dan kelab kerusi roda untuk meningkatkan perkhidmatan dan fasiliti OKU serta pengalaman perjalanan golongan tersebut di semua stesen rel.
‘’Selain itu, nombor talian bantuan Rapid KL akan ditambah dan dipaparkan di lokasi yang mudah dilihat oleh pengguna kerusi roda. Ini memudahkan mereka untuk mendapatkan bantuan segera di stesen,” ujar beliau.