Satu persatu figura dari jenama global terkenal menjadi tenaga kerja Kia atau Hyundai dan pelaburan tersebut dilihat berbaloi jika diukur dari apa yang dinikmati konglomerat Korea Selatan itu sekarang.
Terkini Kia Motors telah melantik pereka terkenal iaitu Oleg Son yang berusia 56 tahun sebagai Ketua Kia Design China. Beliau akan menerajui aktiviti dan mengukuhkan keupayaan reka bentuk Kia di pasaran China yang kini sedang berkembang pesat.
Oleg Son bakal menjawat Pengarah Eksekutif dan Ketua Kia Design China dan ditempatkan di Shanghai. Beliau akan melapor kepada Presiden dan Ketua Pegawai Reka Bentuk, Peter Schreyer dan Ketua Pusat Reka Bentuk Kia, Seon Ho Youn.
Beliau juga bertanggung jawab dalam menguruskan pasukan reka bentuk Kia yang terletak di Yantai, Shandong, China.
Beliau bakal bekerja rapat dengan pusat penyelidikan dan pembangunan Hyundai-Kia di China dalam mengukuhkan dan mengembangkan keupayaan reka bentuk yang ada.
Selain itu Oleg Son juga akan berkerja rapat dengan tokoh reka bentuk lain seperti Gregory Guillaume di Eropah, Tom Kearns di Amerika Syarikat dan juga Ketua Reka Bentuk Kia yang baru dilantik iaitu Pierre Leclercq.
Oleg Son seperti individu lain dalam Kia bukan calang-calang orang, beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang reka bentuk dan telah bersama PSA Group hampir tiga dekad.
Berikut ialah pengalaman beliau dalam industri automotif:
- Membangunkan Citroen C4 dan turut terlibat dalam projek kereta konsep Citroen ‘GT Gran Turismo’ dan ‘Metropolis’ yang telah meneroka jalan kepada jenama premium DS di bawah Citroen
- Projek terkini yang mempunyai penglibatan beliau ialah DS3 dan DS5 baharu
- Beliau juga bertanggung jawab dalam membuka studio satelit pertama PSA Group di Shanghai pada tahun 2008
Pendidikan dan pengaruh rekaan
- Oleg Son pernah tinggal dan bekerja di Asia, Afrika Utara dan UK
- Beliau mahir bertutur dalam bahasa Inggeris dan Perancis
- Graduan Reka Bentuk Industri dan Pengangkutan dari École Nationale des Arts Appliqués et Métiers d'Art Paris
- Beliau juga mempunyai kelulusan dalam Reka Bentuk Pengangkutan dari institut terkenal Royal College of Art, London
- Beliau tertarik dengan kepelbagaian budaya dan mengakui masa yang dihabiskan di China adalah suatu yang berharga, memberi inspirasi dan memperkaya pengalaman manusia dan budaya. Aspek tersebut adalah sumber utama kepada inspirasi beliau
Oleg Son akan menyertai Kia pada penghujung November dan terlibat dalam membangunkan strategi jangka masa panjang di China, membentuk inovasi reka bentuk syarikat dengan tumpuan kepada pembangunan model-model baru yang khusus dicipta untuk pasaran China.
Biografi Oleg Son
2017 – kini Naib Presiden. Pengarah Eksekutif Reka Bentuk jenama DS (Citroen)
2011 – 2017 Pengarah Eksekutif Reka Bentuk DS
2008 – 2011 Pengarah Eksekutif Reka Bentuk Peugeot Citroen Shanghai China
2003 – 2008 Pereka Citroen
2000 – 2003 Pereka Kanan Luaran Citroen
1988 – 2000 Pereka Interior Citroen
Penulis: Muhammad Md Tajudin