Opel perlihat teaser restomod Manta - kini dengan nadi kuasa elektrik!

oleh Mohamad Hanif|
Secara teknikalnya, ini bukanlah model konsep macam Peugeot e-Legend, atau model baharu seperti Honda e yang tampil dengan reka bentuk luaran yang agak klasik itu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Akan tetapi, ia merupakan sebuah pendekatan yang berbeza, di mana Opel melakukan restomod terhadap salah sebuah daripada model klasiknya, Manta kira-kira 51 tahun selepas pelancaran rasminya pada tahun 1970.

Projek restomod ini digelar sebagai Manta GSe ElektroMOD yang memberikan penghormatan buat kereta asal serta kereta prototaip EV yang digelar sebagai Elektro GT yang membuat kemunculan rasmi pada tahun 1971.

Dari segi penampilan, jelas dan nyata Opel Manta GTe ElektroMOD ini membawakan muka korporat baharu Opel seperti yang diperlihatkan menerusi model Mokka dan Crossland terdiri daripada lampu LED baharu, dan gril hadapan yang lebih ringkas diikuti dengan logo 'blitz' di tengah.

Difahamkan, selain daripada muka baharu, Opel Manta EV ini turut menampilkan kokpit digital penuh.

Tiada sebarang informasi berkenaan spesifikasi motor elektrik dan pek bateri, namun untuk kekal dengan konsep asal Opel Manta, berkemungkinan Manta GSe ElektroMOD ini akan menampilkan konfigurasi pacuan roda belakang.

 


Ekstra: Opel Elektro GT 1971


Pada acara pameran automotif Frankfurt Motor Show tahun 1971, Opel telah memperlihatkan salah satu daripada EV terawal yang dinamakan sebagai Elektro GT.

Pada ketika itu, Georg Von Opel yang merupakan cucu kepada Adam Opel mahu memecahkan rekod di Litar Hockenheimring untuk membuktikan EV juga boleh menjadi kompetitif seperti kereta berkuasa petrol.

 


Elektro GT dibangunkan menggunakan Opel GT sebagai asas, dan telah dimodifikasi dengan menggunakan muka hadapan yang lebih tirus, dan arca roda bertutup separuh untuk meningkatkan aspek aerodinamik.

Enjin asal empat silinder sebaris telah digantikan dengan dua unit motor elektrik daripada Bosch, setiap satunya menghasilkan 118 hp dan membolehkan Elektro GT memecut sepantas enam saat dari 0-96 km/j.

 


Namun, teknologi EV pada ketika itu tidak sebagus apa yang kita ada pada hari ini, di mana sasaran awal untuk mendapatkan jarak operasi sejauh 97 km tidak kesampaian, Opel Elektro GT ini mampu mencapai jarak sejauh 43 km sahaja.

Namun, jarak operasi yang dicapai itu lebih daripada mencukupi memandangkan sifat Elektro GT adalah sebagai sebuah kereta lumba, dan bukannya sebuah kereta kegunaan seharian.