Pacuan roda depan (FWD) vs pacuan roda belakang (RWD)

oleh Penyumbang Rencana 2|
"Front Wheel Drive"(FWD) atau "Rear Wheel Drive"(RWD). Pendebatan diantara pacuan roda hadapan dan pacuan roda belakang ini masih hangat diperkatakan sehingga kini.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01

Masing-masing ada pendapat tersendiri. Pihak pengeluar pula mempunyai barisan jentera yang menggunakan pacuan roda hadapan dan pacuan roda belakang sehingga kini.

Sekiranya salah satunya merupakan yang terbaik, sudah pasti yang terbaik itu menjadi pilihan pengeluar. Oleh itu, mari kita bincangkan bersama-sama.

Sebenarnya pemilihan pacuan roda hadapan atau belakang ini bersangkut paut dengan tujuan utama jentera itu dikeluarkan. Banyak faktor yang diambil kira seperti ruang kabin, pengendalian, "Traction" dan sebagainya.

 

 

Kita mulakan dengan FWD.

Kebanyakan model menggunakan pacuan roda hadapan disebabkan kos pembangunannya yang murah dan menjimatkan ruang. Jentera pacuan roda hadapan mempunyai "Traction" yang lebih baik ketika jalan licin berbanding pacuan roda belakang. Hal ini kerana, berat enjin dan sistem transmisi yang berada di bahagian hadapan. Ketika keadaan jalan yang licin, konsep "tarik" adalah lebih berkesan berbanding "tolak".

Jentera pacuan hadapan juga cenderung untuk mendapatkan penjimatan bahanapi. Hal ini kerana dimensi enjin dan sistem transmisi jentera pacuan hadapan adalah lebih kecil dan lebih ringan sekaligus menjadikan keseluruhan berat jentera menjadi lebih ringan berbanding jentera pacuan belakang.
 

i30 N


Dari segi kuasa, jentera pacuan hadapan mendapat kuasa yang dihamburkan ke tayar dengan lebih efisyen. Hal ini kerana tidak berlaku banyak "Power Loss" disebabkan oleh komponen-komponen berkaitan seperti yang ada di jentera pacuan roda belakang. Dari enjin, kepada kotak gear dan langsung ke tayar melalui "Drive Shaft". Mudah.

Berkenaan dengan ruang, kedudukan enjin yang melintang memberikan lebih ruang kepada pemandu dan penumpang hadapan. Hal ini kerana, enjin dan kotak gear tidak masuk terlalu dalam sehingga memakan ruang kabin. Selain itu, ruang belakang dan ruang kargo juga mendapat manfaat kerana tidak perlu menempatkan "Propeller Shaft" dan "Rear Differential".

 


Sekarang kita pergi pula kepada kekurangan FWD.

Walaupun jentera FWD mempunyai "Traction" yang baik ketika jalan licin, namun ia tidak memberikan pengalaman pengendalian sebaik RWD ketika selekoh. Hal ini kerana, kuasa yang dihamburkan oleh enjin dan mekanisma steering yang berada di bahagian hadapan memberikan tekanan yang tinggi kepada sistem gantungan dan tayar. Lebih-lebih lagi ketika membrek. Situasi ini akan membuat jentera cenderung kepada "Understeer". Cuma keadaan ni kebiasaannya berlaku ketika pemanduan laju. Kalau bawa ikut had laju, jangan risau. Masih boleh dikawal dengan baik.

Tekanan yang diberikan kepada sistem gantungan pula akan menyebabkan komponen-komponen seperti "Bushing", "Top Mount", "Drive Shaft" menjadi cepat rosak. Hal ini pastinya menelan kos dan menipiskan dompet pemilik.
 

ITR


Seterusnya, jentera FWD cenderung untuk mempunyai masalah "Torque Steer". Lebih-lebih lagi bagi jentera berprestasi tinggi. Hal ini disebabkan dimensi panjang "Drive Shaft" kiri dan kanan adalah berlainan panjang. Oleh itu, penghantaran kuasa diantara kedua-dua tayar hadapan adalah tidak sama. Sebagai contoh, masalah "Torque Steer" ini sangat biasa berlaku kepada jentera sukan FWD seperti Mazda 3 MPS dan Honda Integra Type R. Mengesot bila memecut.

Yang terakhir adalah darjah putaran steering. Jentera FWD khususnya jenis SUV dan MPV mempunyai masalah darjah putaran steering yang sedikit. Hal ini disebabkan kedudukan enjin yang melintang tidak memberikan banyak ruang kepada tayar untuk berpusing. Disebabkan itu, jentera FWD yang besar perlu mengambil sudut yang luas untuk melakukan pusingan U.
 


Habis sudah cerita FWD, kita pergi pula kepada RWD.

Antara kelebihan RWD adalah ia memberikan tekanan yang seimbang kepada keempat-empat tayar. Hal ini disebabkan kedudukan enjin dan kotak gear yang menegak dan dengan adanya komponen seperti "Propeller Shaft" dan "Rear Differential". Tugas juga diberikan dengan seimbang dimana tayar hadapan untuk tujuan pengendalian dan tayar belakang untuk memacu.

Pengagihan berat pada bahagian hadapan dan belakang juga adalah hampir seimbang sekaligus tidak terlalu menekan komponen-komponen sistem gantungan. Perkara ini juga membantu pemandu mendapat pengendalian yang mantap.
 

GT 86


Dengan pengendalian yang mantap, jentera RWD lebih stabil ketika dipandu dengan laju berbanding jentera FWD. Bukan itu sahaja, ia juga stabil dipandu laju ketika melalui selekoh tajam. Dengan syarat tayar di dalam keadaan yang baik.

RWD mempunyai "Traction" yang lebih baik ketika jalan kering. Disebabkan itu juga lah pecutan jentera RWD lebih baik daripada FWD. 

Disebabkan kedudukan enjin dan kotak gear yang menegak, ia memberikan lebih ruang di ruangan enjin dan ini membolehkan pihak pengeluar menyumbat enjin yang mempunyai kapasiti besar ke dalan ruangan enjin. Sebagai contoh Mercedes Benz C 63 S dan Ford Mustang GT yang mempunyai enjin V8 di ruangan enjin.

Enjin besar = kuasa besar. Disebabkan itu kita dapat lihat jentera-jentera berprestasi tinggi kebanyakannya menggunakan konfigurasi RWD berbanding FWD.
 


Kita pergi pula kepada kekurangan RWD.

"Traction" jentera RWD ketika jalan licin adalah sangat buruk. Disebabkan itu, pemilik jentera RWD dinasihatkan untuk memandu perlahan ketika hujan. 

Disebabkan kelemahan ini juga jentera RWD cenderung untuk mengalami masalah "Oversteer" ketika mengambil selekoh di jalan licin. Memang banyak kes berpusing. Sebagai contoh, di peringkat global kita sering melihat khabar kemalangan membabitkan Ford Mustang ketika jalan licin di jalan selekoh mahupun lurus.
 

accident


Namun, kebanyakan pengeluar seperti Mercedes Benz dan BMW sudah mempunyai solusi tentang masalah ini. Mereka mengoptimumkan fungsi "Traction Control". Dengan itu, tayar tidak mudah tergelincir ketika melalui jalan yang licin.

Yang terakhir, kos penyelenggaraan jentera RWD juga sedikit tinggi disebabkan komponen tambahan seperti "Propeller Shaft" dan "Rear Differential". Komponen-komponen ini wajib diperiksa secara berkala dan "Rear Differential" wajib melalui rutin servis berkala. Jikalau tidak, terdapat kebarangkalian besar dia akan menipiskan atau mengosongkan terus dompet pemilik.
 


Habis sudah topik kelebihan dan kekurangan FWD dan RWD. Dua dua ada kelebihan. Dua dua ada kekurangan.

Susah nak mencari kesempurnaan. Terdapat juga varian "AWD" moden seperti Quattro, 4Matic, 4Motion dan xDrive, cuma harga yang perlu dibayar adalah lebih mahal. Tepuk dada dan tengok dompet.
 

Penulis: Ahmad Omar

Penulis merupakan seorang pengarah urusan pusat servis kenderaan. Beliau berpengalaman bertugas sebagai mekanik, penasihat teknikal dan pengurus pemasaran di dalam dan luar negara. Beliau juga berpengalaman di dalam mengendalikan jentera-jentera mewah dari Itali, Jerman, UK dan Jepun.

Berita Berkenaan

Berita Global
Generasi ketiga Innova itu kini tidak lagi menggunapakai platform ladder frame IMV yang dikongsi…
Berita Global
Daripada sekeping gambar tersebut, beberapa andaian boleh dibuat, terutama dari segi penampilan dan…
Model Terbaharu
Honda dilapor akan melancarkan secara rasmi hatchback pacuan roda depan generasi baharu itu pada…